SKUAD sepak takraw negara berdepan tugas getir apabila terpaksa menghadapi jadual padat dalam usaha membantu negara meraih kilauan pingat emas sebelum temasya Sukan SEA Kemboja 2023 menutup tirai rasmi pada 17 Mei ini.
Acara regu dua sepasukan (doubles) lelaki yang menjadi taruhan terbaik kem Malaysia untuk meraih pingat emas dipaksa beraksi sebanyak empat perlawanan dalam tempoh sehari menentang Kemboja, Myanmar, Singapura serta peringkat separuh akhir hari ini.
Situasi sama turut sama bakal diharungi skuad regu lelaki yang dalam pemburuan untuk mengulangi aksi sama mengejutkan juara dunia, Thailand apabila dipaksa beraksi sebanyak empat perlawanan dalam aksi yang akan berlangsung esok.
Bagaimanapun, ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun berharap anak-anak buahnya tidak termakan dengan taktik kotor penganjur, sebaliknya kekal fokus selain menjaga kecergasan diri.
“Secara jujur, ini kali pertama jadual sebegini diaturkan. Kita hendak cakap lebih-lebih pun, negara lain turut berdepan dengan situasi yang sama, jadi mahu atau tidak kita terpaksa harungi juga.
“Memang bila diaturkan untuk beraksi empat perlawanan sehari, ia akan menjejaskan fizikal pemain, jadi sebab itu saya sudah mengarahkan para pemain untuk terus berehat selepas tamat perlawanan.
“Fokus pasukan sangat penting supaya dapat bersiap untuk perlawanan yang seterusnya.
“Mujur kita diberikan bilik rehat, dan kita juga dah mempersiapkan tukang urut dan doktor untuk membantu atlet kita bersiap dari sudut fizikal,” Kata Jais.
Kem sepak takraw negara sebelum ini berjaya meraih pingat perak untuk acara regu berpasukan lelaki, manakala skuad wanita pula meraih pingat gangsa.