fbpx

Sukan SEA: SEAGF perlu ubah peraturan hadkan atlet naturalisasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD kriket negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada Kemboja yang menggunakan sebahagian besar atlet naturalisasi. – FB MSN

Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023, Datuk Mohd. Nasir Ali menggesa Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk mengehadkan penggunaan atlet natura­lisasi dalam temasya Sukan SEA pada masa depan.

Kata Mohd. Nasir, cadangan agar penggunaan atlet naturali­sasi dihadkan kepada 10 atau 20 peratus daripada keseluruhan pemain dalam sesebuah pasukan pada temasya sukan dwitahunan tersebut.

“Apa yang berlaku di Kemboja dengan tuan rumah menurunkan lebih separuh atlet naturalisasi dalam pasukan mereka adalah sesuatu yang mengejutkan.

“Kita tak jangka lebih separuh daripada itu (penggunaan atlet naturalisasi), tidak boleh sampai satu pasukan semua orang luar, tidak dinafikan kadang-kadang ia mengusik psikologi pemain kita.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan, anggaplah satu kekangan, jadi mainlah semampu yang boleh,” katanya.

Situasi berkenaan berpunca daripada Kemboja yang secara tiba-tiba menjadi ‘kuasa besar’ kedudukan carta pingat keseluruhan pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 kali ini kerana difahamkan mereka guna ramai atlet naturalisasi.

Antara yang mencuri perhatian, kemenangan pasukan bola keranjang Kemboja yang meraih pingat emas acara bola keranjang 3×3 dengan menewaskan pasukan pilihan, Filipina di pentas final.

Pada saingan berkenaan, mereka telah menggunakan tiga pemain bertaraf naturalisasi seperti Saeed Bridgett, Brandon Peterson dan Darrin Dorsey manakala Tep Chhorath menjadi satu-satunya anak tempatan dalam pasukan itu.

Malah, skuad bola keranjang Kemboja kini turut berada dalam landasan terbaik untuk menang pingat emas acara 5×5 sebelum saingan penutup tirai esok.

Selain itu, Kemboja turut dilaporkan menggunakan atlet ‘import’ bagi acara badminton dengan menggunakan ‘anak jati China’ pada perseorangan wanita dan aksi final beregu berpasukan sebelum ini.

Malah, tuan rumah juga dilihat mendominasi padang kriket selepas mendapatkan ramai pemain kelahiran Pakistan dan India dalam usaha meraih pingat emas.

Pasukan kriket Malaysia turut menjadi ‘mangsa’ selepas terpaksa berpuas hati dengan status naib juara apabila gagal menandingi kehebatan tuan rumah yang menggunakan tonggak import dari ‘kuasa besar’ dunia sukan itu.

Difahamkan, 13 daripada 15 pemain kriket pasukan Kemboja adalah orang luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI