TIADA yang lebih menggembirakan Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila lagu runut bunyi (OST) bagi filem Anwar: The Untold Story dendangannya meraih pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Akui Siti, reaksi pemimpin nombor satu negara yang meluahkan rasa teruja terhadap lagu Menjaga Cintamu mencetuskan emosi pelbagai.
Dia terharu, gembira dan dalam masa sama turut merasa malu-malu dengan pujian.
Siti bagaimanapun bersyukur telah menjalankan amanah komposer serta penulis lirik lagu berkenaan dengan sehabis baik.
“Sebenarnya, saya segan, tapi rasa sangat bersyukur. Alhamdulillah. Bermakna usaha dan karya ciptaan Andi Rianto yang dihasilkan khusus untuk filem ini mencapai matlamatnya.
“Sejujurnya, terselit juga rasa gementar, namun pada waktu sama terharu dengan penerimaan serta maklum balas positif PM (Perdana Menteri) terhadap lagu ini.
“Insya-Allah, Menjaga Cintamu bakal dimuatkan dalam album terbaharu saya yang bakal disempurnakan tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana Anwar: The Untold Story, baru-baru ini.
Penghibur nombor satu negara itu tampil sebagai jemputan khas bersama ramai lagi tetamu VIP termasuk Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Siti mengakui meminta peluang kepada penerbit untuk menonton terlebih dahulu filem biopik berkisar perjuangan figura dihormati ramai itu sebelum memasuki studio rakaman.
Katanya, pemahaman mengenai plot pengkisahan sesebuah naskhah membolehkannya lebih menghayati karya ciptaan komposer Indonesia, Andi Rianto dengan liriknya hasil ilham Sekar Ayu Asmara itu dengan baik.
“Lagu ini didedikasikan untuk tokoh yang banyak berkorban di samping isterinya yang sering bersabar dan banyak menahan perasaan sepanjang perjuangan mereka.
“Saya berterima kasih kepada pihak produksi kerana memilih saya untuk menyampaikan lagu ini,” katanya lagi yang tampil anggun menggayakan persalinan rekaan Ashraff Zainal.
Hadir sama ke majlis tayangan filem berkenaan adalah suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Filem biopik arahan sutradara Indonesia, Viva Westi itu dibintangi Farid Kamil yang memegang watak Anwar dan Hasnul Rahmat (Tun Dr. Mahathir Mohamad) bersama pelakon Indonesia iaitu Acha Septriasa (Wan Azizah) serta Dewi Irawan.
Anwar: The Untold Story mengimbas perjuangan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kancah politik ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.
Naskhah yang diusahakan pembikinannya sejak 2011 dengan menelan belanja sebanyak RM10 juta dan bakal ditayangkan di panggung wayang seluruh negara mulai 18 Mei ini.
Filem Anwar: The Untold Story adalah terbitan Yusrych Global Sdn Bhd, manakala DMY Creation selaku pengedar rasmi.