WASHINGTON – Robot pembunuh, makhluk asing, asteroid dan pandemik baharu disenaraikan sebagai antara penyebab yang boleh mencetuskan kiamat global, lapor akhbar Daily Star semalam.
Antara punca utama lain yang diramal boleh memusnahkan tamadun manusia termasuk pembalikan medan magnet Bumi dan lohong hitam yang berlegar-legar.
Portal berita MailOnline menerusi laporannya meneroka beberapa pencetus kepada kehancuran Bumi.
Pencetus pertama adalah impak daripada asteroid gergasi yang terhempas ke Bumi.
Ahli-ahli astronomi menganggarkan salah satu daripada asteroid gergasi yang bergerak di angkasa lepas akan terhempas ke Bumi sekali dalam setiap 100 juta tahun atau lebih lama.
Menurut ramalan, kebarangkalian ia berlaku adalah dalam masa 30 juta tahun lagi.
Selain itu, robot yang boleh membunuh manusia turut disenaraikan sebagai pencetus utama kehancuran dunia dengan kebimbangan mengenai teknologi kepintaran buatan (AI) semakin kerap disuarakan.
Lebih 1,000 taikun teknologi sebelum ini menandatangani surat untuk mendesak supaya ‘perlumbaan berbahaya’ dalam teknologi AI dihentikan seketika.
Menurut mereka, tindakan segera perlu diambil sebelum manusia hilang kawalan terhadap teknologi serta risiko menjadi pupus disebabkan robot.
Pakar-pakar selain itu turut memberi amaran mengenai risiko pencerobohan makhluk asing ke atas penduduk Bumi. Mereka berkata, sekiranya hidupan luar Bumi tiba di planet ini, teknologi yang mereka miliki itu berkemungkinan amat canggih, menyebabkan manusia tidak dapat mempertahankan diri.
Antara ancaman lain termasuk gunung berapi super, Bumi ditelan oleh Matahari, pembalikan medan magnetik Bumi, pandemik, perang nuklear, pemanasan global dan lohong hitam. – Agensi