fbpx

Prasarana sasar MKBF sejauh 1 juta kilometer menjelang 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony ketika sidang akhbar pengumuman MKBF sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Prasarana, hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan inisiatif untuk memantau dan menjejaki Min Kilometer Antara Kegagalan atau ‘Mean Kilometer Between Failures’ (MKBF) untuk perkhidmatan relnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, MKBF akan didedahkan kepada umum pada setiap bulan manakala maklumat terkini mengenai penumpang, faktor muatan, kebolehpercayaan perkhidmatan, ketersediaan perkhidmatan dan kemudahan stesen perkhidmatan rel dan bas masing-masing di bawah Rapid Rail dan Rapid Bus akan dikongsikan pada setiap minggu.

“Selain itu, MKBF membantu mengenal pasti ruang penambahbaikan dan melaksanakan langkah-langkah untuk menanganinya, sejajar dengan matlamat syarikat untuk mencapai sasaran MKBF sejauh satu juta kilometer (km) menjelang Suku Ketiga di tahun 2026.

“MKBF adalah cara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk menilai kebolehpercayaan perkhidmatan. Ianya diperolehi daripada purata jarak perjalanan kereta api sebelum kegagalan atau kerosakan yang menyebabkan kelewatan lebih daripada lima minit berlaku.

“MKBF digunakan oleh pengendali kereta api di seluruh dunia termasuk di Singapura, Thailand dan Taiwan dan laporannya adalah sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Prasarana,” katanya dalam sidang akhbar ketika Majlis Rumah Terbuka Prasarana di Grand Nexus, di sini hari ini.

Jelasnya, ia adalah penanda aras yang digunakan untuk mengukur perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di samping matlamatnya adalah untuk beroperasi tanpa kegagalan atau gangguan teknikal untuk jarak yang disasarkan.

“Dengan memperkenalkan pendekatan baharu ini, saya yakin Prasarana akan dapat mencapai sasaran MKBF secara berperingkat terutamanya dengan pengenalan koc-koc tren baharu menjelang bulan Ogos dan memastikan kerja-kerja baik pulih serta penukaran alat ganti untuk tren-tren yang sedia ada dilakukan mengikut jadual penyelenggaraan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, dengan menjejaki MKBF pihaknya dapat menyediakan penumpang dengan maklumat yang jelas dan padat tentang prestasi perkhidmatan berkaitan termasuk kekerapan dan tempoh gangguan dan langkah usaha yang diambil untuk menanganinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI