KEJAYAAN meraih pingat emas berganda 400 meter (m) pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 minggu lalu seharusnya membuka mata semua pihak termasuk Kesatuan Olahraga Malaysia.
Pencapaian Umar Osman dan Shereen Samson Vallabouy di Phnom Penh perlu menjadi titik permulaan arena olahraga negara kembali mendominasi acara 400m lelaki serta wanita rantau Asia Tenggara.
Umar, 20, lebih meminati bola sepak sebelum ‘terjun’ ke balapan olahraga lima tahun lalu, mencipta rekod kebangsaan 46.34 saat (s) memadam catatan lama 46.41s milik Zaiful Zainal Abidin pada 2001.
Ia menamatkan penantian Malaysia bagi acara 400m lelaki yang kali terakhir dimenangi Zafril Zuslaini pada 2009 di Laos.
Jalur Gemilang sekali lagi megah dikibarkan diiringi lagu Negaraku buat kali kedua. Kali ini menerusi kejayaan Shereen Samson Vallabouy mengakhiri kemarau 24 tahun acara 400m wanita menerusi catatan 52.53s.
Shereen, 25, baru sahaja meleburkan rekod kebangsaan berusia 30 tahun 52.56s dilakukan arwah Rabia Abdul Salam pada 1993 dengan masa lebih pantas 51.80s di Amerika Syarikat (AS).
Emas berganda itu mengulangi pencapaian bersejarah dilakukan Nordin Mohamed Jadi dan Josephine Mary Singarayar pada Sukan SEA Jakarta 1987 selain Romzi Bakar serta N. Manigamalay ketika Sukan SEA 1997.
Sebenarnya, catatan terbaik mereka sudah berpotensi untuk mencabar jaguh-jaguh di pentas lebih tinggi bermula kejohanan peringkat Asia.
Tidak mustahil Umar dan Shereen layak ke Sukan Olimpik jika diberikan pendedahan secukupnya kerana Malaysia pernah ada wakil 400m dalam enam edisi bermula 1956, 1960, 1964, 1972, 1984 dan 1988.
Fokus kini bagi memastikan dua atlet itu layak merit ke Olimpik 2028 kerana realistiknya Olimpik
Paris 2024 terlalu awal, tetapi bonus jika mereka layak.
Had kelayakan automatik ditetapkan ke Olimpik Paris 2024 masih sukar iaitu 45s bagi acara lelaki dan 50.95s untuk wanita.
Legenda olahraga, Tan Sri Dr. M. Jegathesan yang pernah berlari 400m pada Olimpik Rom 1960, percaya ia mampu dilakukan berdasarkan faktor umur terutama Umar yang akan berusia 25 tahun pada 2028.
“Usia sesuai untuk acara 400m mesti lebih dari 20 tahun. Kalau umurnya sekarang 20 tahun, beri masa tiga hingga empat tahun lagi untuk meningkat, jadi Olimpik 2028 realistik sebab dia akan berumur 25 tahun.
“Kalau dia berlatih dengan bagus, tingkatkan standard dan dapat menurunkan masa kepada 45s, saya percaya tiada yang mustahil. Jangan sia-siakan bakat dan potensi yang ada pada dirinya,” kata Jegathesan.
Legenda olahraga yang beraksi 400m pada Olimpik Munich 1972, Tambusamy Krishnan turut berharap Umar dan Shereen tidak diberikan tekanan melampau yang boleh merosakkan perkembangan mereka.
“Satu masalah jika mereka diberi motivasi yang salah atau tekanan tinggi. Mereka perlu terus merendah diri dan kekalkan apa yang mereka lakukan sekarang,” jelasnya.
Sesuatu yang manis buat kem olahraga sekiranya Umar dan Shereen beraksi pada Olimpik yang sama untuk 400m seperti dilakukan Nordin Jadi dan ibu Shereen, Josephine Mary Singarayar pada Olimpik Seoul 1988.
Edisi di Korea Selatan itu adalah kali terakhir Malaysia mempunyai pelari 400m di Olimpik yang berakhir di pusingan pertama dengan Nordin mencatat masa 49.52s dan Josephine 56.06s.