HULU SELANGOR – Polis menafikan sebuah video tular yang didakwa berlakunya kejadian culik di sebuah pasar raya di Bukit Sentosa, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook pada pukul 9 pagi tadi.
Ujarnya, hantaran dua klip video itu memaparkan bunyi gemparan kebakaran dengan seorang suspek ditahan dengan bantuan orang ramai.
“Semalam lebih kurang 1.07 petang, laporan polis dibuat oleh pekerja pasaraya berkenaan. Kejadian sebenar melibatkan suspek lelaki warga tempatan berusia 33 tahun merupakan seorang penganggur.
“Suspek ditahan kerana melakukan perbuatan mencuri barangan milik pasaraya dan ianya bukan seperti dakwaan di media sosial yang menyatakan berlaku kejadian culik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran daripada kejadian ini, suspek ditahan untuk membantu siasatan dan dua kertas siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (curi dalam bangunan) yang membawa hukuman 10 tahun penjara atau denda.
Bagi kesalahan menularkan video di media sosial akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
“Untuk kesalahan ini, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan suspek yang terlibat menularkan video tersebut. Pihak polis menasihati orang ramai supaya menghentikan sebarang penyebaran video yang mengelirukan dan boleh menggusarkan masyarakat.
“Polis Hulu Selangor juga telah mempertingkatkan rondaan pencegahan jenayah khusus di kawasan pasaraya tersebut bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai apa-apa maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau pegawai penyiasat jenayah Inspektor Zulaikha Mohamed di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE