fbpx

PADU ditubuh bagi selaras data isi rumah rakyat Malaysia – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada sidang akhbar selepas mempengerusikan pasca mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara di Bangunan Perdana Putra, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membangunkan sebuah pangkalan data utama (PADU) bagi mengumpul seberapa banyak maklumat sosio ekonomi isi rumah sekali gus membantu kerajaan mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PADU itu akan ditubuhkan segera dan menjadi penyelaras data antara agensi-agensi sedia ada termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau berkata, jika mahu bercakap mengenai soal ekonomi digital dan hala tuju negara pada masa depan, maka kerajaan perlu mempunyai data yang lengkap.

“Hari ini kita buat keputusan agak penting iaitu menyedia dan menetapkan pembentukan PADU bagi memudahkan kerajaan mengubal dasar dan menyasarkan subsidi.

“Buat masa ini, ada jabatan-jabatan lain menyelengara data secara berasingan justeru, PADU akan mengambil alih tugas-tugas ini supaya ada satu agensi dapat merumuskan semua data ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sini hari ini.

Katanya, keperluan sistem data ini harus lebih menyeluruh dan lebih penting subsidi dan bantuan yang diperuntukkan kepada orang miskin tercapai.

Anwar berkata, PADU akan mengumpul maklumat di peringkat isi rumah yang meliputi bilangan isi rumah, rekod pendapatan, tanggungan anak isi rumah mengikut peringkat pendidikan, lokasi isi rumah dan bilangan kenderaan isi rumah.

Menurutnya, ia juga merangkumi rekod bantuan yang telah diterima dari jabatan kerajaan di dalam isi rumah dan maklumat-maklumat lain yang boleh membantu menentukan pendapatan boleh belanja setiap isi rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI