fbpx

Ombak besar landa pantai di Pulau Pangkor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman ombak besar dan laut bergelora yang melanda di Pulau Pangkor sejak empat hari lalu.

LUMUT – Pengunjung ke Pulau Pangkor ‘kempunan’ mandi laut berikutan fenomena ombak besar dan laut bergelora yang melanda di pantai pulau tersebut sejak empat hari lalu.

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa memacak bendera merah iaitu larangan mandi-manda di pantai yang popular dalam kalangan pelancong iaitu Pasir Bogak dan Teluk Nipah.

Situasi itu turut dikongsi penduduk dan pengunjung dalam media sosial dengan memuat naik video yang menunjukkan keadaan ombak besar melanda sehingga menghempas ke tebing medan selera di Teluk Nipah dan laluan kenderaan.

Difahamkan, situasi itu berlaku disebabkan pengaruh fasa peralihan Monsun Barat Daya sekarang yang mana beberapa tempat dijangka menerima tiupan angin kencang sehingga menyebabkan laut bergelora.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Muhammad Shukur Jamaludin berkata, pihaknya membuat pemantauan di kedua-dua pantai tersebut yang sering menjadi tumpuan ramai pelancong.

“Hari Sabtu (kelmarin) dan Ahad (semalam), pihak bomba membuat pemantauan dan edaran risalah keselamatan aktiviti di air kepada pengunjung dan orang ramai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, keadaan adalah terkawal dan pihaknya tidak menerima laporan dan aduan sebarang kes kecemasan di laut dalam tempoh tersebut.

Difahamkan, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengeluarkan arahan pemberhentian semua aktiviti dan rekreasi di laut sebagai langkah keselamatan sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI