KUALA LUMPUR – Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilantik sebagai Ketua Polis di sini, berkuat kuasa hari ini.
Mohd. Shuhaily yang dulunya merupakan Ketua Polis Pulau Pinang, menggantikan pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mohd. Noor.
Abu Samah yang juga Ketua Jabatan Cawangan Khas Kuala Lumpur akan bertukar ke Timbalan Ketua Polis Kedah dengan memangku pangkat Deputi Komisioner berkuat kuasa 22 Mei ini.
Majlis serah terima tugas itu diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini dengan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ayob Khan berkata, pihaknya akan memastikan JSJ memberi sokongan padu kepada Mohd. Shuhaily dan pegawai-pegawai IPK Kuala Lumpur dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Jelasnya, ia bagi memastikan ibu kota sentiasa selamat untuk semua lapisan masyarakat sekali gus meletakkan Kuala Lumpur sebagai tempat yang selamat didiami dan dikunjungi.
“Prestasi Kuala Lumpur amat penting ekoran menjadi cerminan kepada kontijen lain dan ibu kota ini menjadi tumpuan aktiviti-aktiviti ekonomi, pelancongan dan pejabat-pejabat bekalan asing.
“Lokasi Polis Diraja Malaysia Bukit Aman yang terletak dalam kontinjen Kuala Lumpur juga menjadi salah satu faktor mengapa IPK Kuala Lumpur sering dilihat sebahagian daripada Bukit Aman.
“Saya amat yakin dengan pengalaman, kredibiliti, kepimpinan, dan ketegasan dan paling penting aspek integriti yang dimiliki oleh beliau, IPK Kuala Lumpur dapat capai kecemerlangan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya akan memperjelaskan dan melaksanakan amanat tanggungjawab yang diberi oleh PDRM Bukit Aman sebaiknya.
Ujarnya, jika berjaya Kuala Lumpur maka berjaya seluruh PDRM dan secara tidak langsung memberi gambaran yang baik kepada Bukit Aman.
“Berkaitan dengan apa yang beliau (Ayob Khan) katakan tadi, saya akan semak dahulu sebelum buat apa-apa kenyataan kerana saya rasa itu adil kepada semua pihak.
“Moto saya adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur hebat, selamat untuk didiami dan dikunjungi. Itu adalah tanggungjawab saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE