fbpx

Mark Adam janji takkan curangi isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARK ADAM dan isteri, Ezan.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Mark Adam berjanji tidak akan curang terhadap isteri tersayang, Ezan atau Norazah Redzuan meskipun belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata sendiri hampir dua dekad perkahwinan.

Sentiasa ingat akan pesanan bapa untuk terus setia, Mark berpegang teguh kepada ikrarnya untuk menjaga suri hatinya itu sepanjang hayat sejak bernikah pada 2003.

“Saya masih ingat hari pernikahan kami genap 20 tahun lalu. Masa di masjid bernikah kita kan sudah berjanji depan imam dengan Allah, jadi saya kena pegang janji itu.

“Satu lagi saya ingin terus setia kerana bapa saya. Saya tak tahu apa yang isteri buat kerana pertama kali ke Filipina, dia pergi seorang. Saya pula tak boleh keluar dari Malaysia ketika itu disebabkan nak dapatkan status pemastautin tetap.

“Apabila keluarga saya ajak balik Filipina, dia pergi seorang diri. Bapa kemudian hubungi saya cakap, kalau saya sakiti Ezan, dia suruh saya lupakan dia sebagai ayah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mark yang juga komposer dan guru vokal itu ditemui pada majlis rumah terbuka Syawal FYP Media dan Indigital Music, baru-baru ini.

Pada masa sama, penyanyi lagu Marry Me itu turut menjadikan bapanya sebagai contoh terdekat sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab sekaligus membina sebuah ikatan perkahwinan yang kukuh.

Walaupun bapannya sudah tiada, kenangan serta melihat sendiri individu dihormati itu menjaga ibunya membuatkan Mark terus berpegang kepada janji.

“Pasangan kita adalah insan yang kita pilih untuk sehidup semati. Bapa saya saya pun memilih seorang wanita saja dalam hidupnya iaitu ibu saya.

“Apabila kita menjadikan seorang wanita itu peneman hidup, bermakna apa pun terjadi, kita sudah nekad untuk bersama-sama mengharungi kehidupan.

“Kita kena pegang kuat-kuat. Nak bergaduh, bergusti, atau apa pun terjadi, kita teruskan kerana sudah berjanji,” katanya yang menganggap godaan dari luar hanya ujian menguji kesetiaan.

Mark dan Ezan, 42, yang juga pengurus kerjaya seninya bergelar suami isteri dua dekad lalu, namun belum dikurniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI