SAUDARA PENGARANG,
Walaupun tugas sebagai ibu dan bapa sukar, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab menjaga dan melindungi anak sepanjang masa.
Ibu bapa tidak boleh lepas tangan kerana ia melibatkan darah daging sendiri. Menjadi ibu bapa adalah pilihan sendiri. Mereka tidak boleh sekadar melahirkan tanpa menjaga dan melindungi anak-anak.
Oleh itu, sama ada suka atau tidak, mereka harus pikul beban tugas dan tanggungjawab tersebut. Sejak akhir-akhir ini timbul isu antaranya kanak-kanak memandu kereta tanpa lesen, lumba haram, melepak di tempat awam, bermain mercun dan terbabit jenayah.
Tugas menjaga dan melindungi anak bukan tanggungjawab moral, malah ia termaktub dalam undang-undang iaitu Akta Kanak-kanak 2001.
Semua pihak khususnya ibu bapa perlu mengambil serius perkara ini. Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap ibu bapa atau penjaga yang cuai atau gagal melindungi anak masing-masing.
Sudah sampai masanya aspek peruntukan undang-undang didedahkan secara terperinci kepada semua pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan agar mereka akan menjadi ibu bapa yang lebih bertanggungjawab kelak.
Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow
Kuala Lumpur