SAUDARA PENGARANG,
SETIAP kali Syawal, menjadi tradisi di Malaysia untuk mengadakan rumah terbuka. Berbagai jenis juadah dihidangkan untuk tetamu, namun terdapat golongan yang sering dilupakan penganjur iaitu penghidap diabetes.
Hidangan seperti ketupat, kuih-muih, kek, minuman bergula mempunyai kalori dan kandungan gula tinggi. Ramai penghidap diabetes takut untuk menjamu selera kerana gula boleh dibarat seperti dadah bagi pesakit diabetes.
Saya harap penganjur dapat menyajikan juadah, kuih-muih dan minuman kurang manis, rendah Indeks Glisemik (GI) dan tinggi serat untuk tetamu yang ingin mengurangkan pengambilan gula.
Letakkan ia pada sudut khas dan berlabel. Tidak semestinya pesakit diabetes yang ingin jaga pemakanan, tetamu lain juga harus berhati-hati dengan makanan dan minuman yang diambil.
Dalam hal ini, saya harap Kementerian Kesihatan (KKM) dan Diabetes Malaysia dapat memberi peringatan kepada rakyat tentang pengambilan makanan dan minuman pada bulan Syawal dalam media arus perdana dan media sosial.
Berikan juga cadangan dan panduan kepada tuan rumah tentang penyajian makanan dan minuman sesuai buat penghidap diabetes.
Kalau boleh, sediakan perkhidmatan ujian glukosa dalam darah di majlis rumah terbuka terutama bagi peringkat negeri dan kebangsaan dengan bayaran yang rendah.
Mungkin ada tetamu yang ingin menguji kandungan gula dalam darah sebelum dan selepas menjamu selera. Jadi mereka akan lebih berhati-hati.
Diabetes bukan penyakit seperti demam atau selsema yang mana simptomnya mudah dikesan. Tanpa sedar, orang yang rasa dirinya sihat dan cergas, mungkin menghidap diabetes.
Jika Generational End Game laksana larangan merokok, perkara yang sama juga boleh dilakukan bagi diabetes.
Ia boleh dimulakan dengan pengurangan kandungan gula dalam makanan dan minuman di kantin sekolah.
Teh hijau dan roti mil penuh adalah alternatif kepada teh tarik dan kuih-muih untuk jamuan bagi sesuatu acara, majlis dan mesyuarat jabatan kerajaan.
Agak sukar bagi tuan rumah untuk memenuhi permintaan, sekurang-kurangnya cuba penuhi keperluan berkaitan dengan pegangan agama dan masalah kesihatan.
Marissa QT
Kuala Lumpur