KULIM – Seorang penjawat awam memberi alasan hanya mahu mengambil air di rumah teman wanitanya ketika mereka dicekup berkhalwat di Taman Sri Pinang, di sini hari ini.
Pasangan berusia 35 dan 48 tahun itu ditahan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) kira-kira pukul 1.50 pagi tadi.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, pihaknya mendapati pintu rumah itu tertutup dan berkunci dari dalam ketika serbuan dilakukan.
“Pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas rumah didiami wanita terbabit menemui banyak barangan dipercayai milik lelaki itu.
“Kedua-dua mereka yang merupakan penjawat awam mendakwa masih bujang dan belum berkahwin,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, lelaki itu memberi alasan pergi ke rumah wanita berkenaan untuk mengambil air kerana rumah terputus bekalan air susulan kejadian Sungai Muda Surut sejak awal pagi semalam.
Tambahnya, pasangan terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk laporan tangkapan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang mana mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE