PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan kelulusan segera penerbangan sewa khas (chartered flight) bagi memudahkan kemasukan pelancong ke Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan berkaitan perkara tersebut telah dibincangkan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Soal teknikal (menteri) minta visa apa semua, saya dah bincang dengan MDN (Menteri Dalam Negeri), MDN kata kalau peringkat awal yang kita boleh luluskan segera (adalah) chartered flight dan yang lain kita tengok perkembangannya, tetapi ia selaras dengan dasar kita (iaitu) ‘ease of doing business’.
“Apa tindakan yang boleh menyenangkan dan menarik minat pelancong ke Malaysia, tindakan yang sesuai harus kita beri pertimbangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di sini hari ini.
Pada Februari lalu, Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing menerusi hantaran di Facebooknya mencadangkan syarikat penerbangan tempatan untuk membuat penyelidikan dan membangunkan penerbangan sewa khas ke Malaysia bagi menarik dan memudahkan kedatangan pelancong ke negara ini.
Menurut beliau, tindakan itu bertujuan memastikan lonjakan pelancong asing ke negara ini dapat dipertingkatkan.
Sementara itu, King Sing menerusi ucapannya berkata, pada tiga bulan pertama tahun ini, seramai 4.38 juta pelancong antarabangsa dicatatkan masuk ke negara ini.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 178,150 orang adalah pelancong China iaitu 45,317 orang pada Januari manakala 49,782 dan 83,051 pelancong masing-masing pada Februari serta Mac. – KOSMO! ONLINE