KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei kembali menemui sentuhan berbisa ketika membantu skuad badminton Malaysia mencatat kemenangan 5-0 ke atas India pada aksi Kumpulan C saingan Piala Sudirman di Suzhou, China sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Suzhou itu, Jin Wei menyumbang mata ketiga pasukan negara dengan menewaskan bekas juara dunia, P.V. Sindhu 14-21, 21-10, 22-20, sekali gus mengesahkan tempat Malaysia ke suku akhir lebih awal.
Lebih manis, kemenangan tersebut merupakan kemenangan pertama Jin Wei ke atas Sindhu memandangkan dalam empat pertemuan sebelum ini, ia hanya memihak kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.
“Saya langsung tidak fikir mengenai menang atau kalah hari ini, hanya fokus pada perlawanan sahaja. Apa yang penting, saya sudah berikan segala-galanya dan sangat bernasib baik untuk catat salah satu kemenangan terbesar.
“Kehadiran saya di sini tidak ada untuk buktikan kepada sesiapa, cuma mahu pamerkan aksi terbaik kepada yang sentiasa memberi sokongan. Selepas ini, saya perlu lebih banyak siapkan kekuatan mental,” kata Jin Wei sejurus tamat perlawanan.
Kemenangan ke atas Sindhu pastinya menjadi pembakar semangat buat juara remaja dunia dua kali itu menjelang pertemuan dengan bekas pemain No.1 dunia, Tai Tzu Ying pada aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Taiwan pada Rabu ini.
Pada perlawanan sebentar tadi, Malaysia bermula dengan langkah positif apabila beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai menyumbang mata pertama dengan menewaskan Dhruv Kapila-Ashwini Ponnappa 21-16, 21-17.
Kemudian, giliran perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia membuktikan kejaguhan apabila menang 21-16, 21-11 ke atas K. Srikanth sebelum Jin Wei menjinakkan Sindhu 14-21, 21-10, 22-20.
India yang sekurang-kurangnya mahu mendapatkan mata saguhati menerusi beregu lelaki, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy gagal untuk melakukannya apabila tewas 18-21, 19-21 kepada juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah kemudiannya melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara apabila menyumbang mata kelima selepas berjaya menewaskan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand 21-15, 21-13.
Meskipun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir, namun Malaysia akan berdepan satu lagi aksi sukar bertemu Taiwan pada Rabu ini bagi menentukan pasukan mana yang bakal dinobatkan sebagai juara Kumpulan C. – KOSMO! ONLINE