fbpx

Jenayah seksual bawah umur di Selangor meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein Omar Khan (tengah) ketika sidang akhbar di dewan serbaguna di Balai Polis Seri Kembangan, Selangor , hari ini.

SERDANG – Jenayah seksual bawah umur berada di tahap membimbangkan apabila mencatatkan sebanyak 155 kes dilaporkan sejak Januari hingga April tahun ini di sekitar Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes ini kian meningkat berbanding tahun lepas dan daripada jumlah itu, 33 suspek merupakan pelajar lelaki.

Tanpa menjelaskan butiran lanjut, beliau menjelaskan kemudahan akses kepada internet dan media sosial juga memainkan peranan berlakunya jenayah seksual di bawah umur.

“Kebanyakan mangsa melibatkan pelajar. Kita juga dapati kes-kes begini kian meningkat dan kemungkinan faktornya adalah suka sama suka.

“Jenayah seksual di bawah 18 tahun adalah satu kesalahan besar dan tidak faham akan undang-undang juga memainkan peranan suspek melakukan jenayah walaupun atas dasar suka sama suka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dewan Serbaguna Balai Polis Seri Kembangan, di sini hari ini.

Beliau berkata bahan-bahan lucah di internet mudah diakses oleh golongan ini hinggakan mereka menjadi teruja untuk melakukan hubungan seksual dengan mangsa.

Justeru itu, ibu bapa dan penjaga dinasihati agar memantau dan beri perhatian terhadap aktiviti anak-anak mereka.

Jelas beliau, kes-kes yang berlaku kebanyakannya terjadi kepada pelajar perempuan di sekolah menengah dan mangsa paling muda terlibat berusia 12 tahun.

“Kejadian banyak terjadi di rumah suspek atau rumah mangsa, dalam kereta malah di tandas awam.

“Kejadian seperti ini amat membimbangkan kerana melibatkan suspek dan mangsa bawah umur dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan penjara yang boleh menjejaskan masa depan mereka,” katanya.

Tambah Hussein, pihaknya sentiasa memantau aktiviti para pelajar di sekolah dengan mewujudkan pegawai perhubungan sekolah.

Bagaimanapun menurutnya, perkara itu semua tidak memadai sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak mengambil serius akan isu ini dan perlu mainkan peranan mengenainya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI