PHNOM PENH – Skuad sepak takraw negara terpaksa ‘gigit jari’ dalam usaha meraih pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023 setelah tunduk kepada Indonesia 1-2 dalam acara doubles (regu dua sepasukan) dalam aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Nasional Olimpik, Phnom Penh hari ini.
Malaysia yang mempertaruhkan gandingan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Zawawi berjaya mengekalkan ketenangan berdepan duo Indonesia Saiful Rijal dan Muhammad Hardiansyah Muliang untuk memenangi set pertama dengan keputusan 21-16.
Set kedua pula menyaksikan Indonesia membuat pertukaran dengan memasukan Rusdi Rusdi untuk menggantikan Saiful Rijal.
Percaturan itu menjadi apabila Indonesia mendahului pada awal babak set kedua.
Keadaan seakan mengelisahkan untuk kem negara, sehingga ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun membuatkan keputusan untuk mengeluarkan Noraizat dan memasukan Hafizul Hayazi Adnan ketika Malaysia ketinggalan 13-17.
Bagaimanapun ia tidak dapat menghalang untuk Indonesia mengheret perlawanan ke set penentuan setelah menang dengan keputusan 16-21.
Kemenangan itu ternyata menaikkan motivasi skuad Garuda di set ketiga apabila akhirnya menumpaskan Malaysia dengan keputusan 21-13. – KOSMO! ONLINE