fbpx

Hanya daerah Barat Daya masih terjejas bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (kanan) ketika lawatan ke Sungai Muda, Kepala Batas hari ini berhubung isu bekalan air di Pulau Pinang. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Hanya beberapa kawasan khususnya di daerah Barat Daya iaitu di bahagian pulau negeri ini masih berdepan dengan isu bekalan air ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, antara kawasan terlibat adalah Jalan Sungai Tiram, Bayan Lepas, Jalan Teluk Kumbar, Bukit Belah, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Gertak Sanggul.

Menurutnya, turut terkesan adalah di Kampung Matahari Naik, Jalan Pondok Upeh, Batu Itam, Flat Lily, Pulau Betong, Bukit Penara dan Persiaran Mayang Pasir.

“Ini kawasan yang tidak ada air langsung setakat ini. Semuanya dalam lingkungan 10 peratus. Tempat lain sudah tidak ada masalah. Sudah selesai,” katanya kepada pemberita semasa mengiringi lawatan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di muka sauk Kampung Lahar Tiang, di sini hari ini.

Terdahulu, penurunan mendadak paras air Sungai Muda sejak pukul 5 pagi semalam telah menyebabkan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua terjejas sekali gus menyebabkan lebih 600,000 akaun pengguna di Pulau Pinang dan selatan Kedah secara keseluruhannya turut terkesan.

Justeru, PBAPP menjangkakan berlakunya gangguan bekalan air khususnya di Pulau Pinang sehingga ia dipulihkan sepenuhnya iaitu sehingga selewat-lewatnya Rabu ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengesahkan bahawa masalah itu berpunca daripada kerosakan sensor automatik pada baraj di Sungai Muda hingga menyebabkan paras air di empangan tersebut jatuh secara mendadak iaitu hingga mencecah 0.4 meter.

Bagaimanapun katanya, ketika ini, paras air tersebut telah berjaya dipulihkan sehingga 90 peratus kepada keadaan asal di seluruh Pulau Pinang dengan baki akaun pengguna yang terkesan dianggarkan hanya sekitar 40,000 sahaja.

“Mengikut kenyataan awal PBAPP sebelum ini, kita menjangkakan tempoh sehingga tiga hari perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ini, namun, tahniah saya ucapkan kerana pemulihan sebanyak 90 peratus telah berjaya dicapai dalam tempoh 36 jam sahaja.

“Dalam keadaan krisis seperti ini, kita akan cuba untuk mengusahakan sedaya upaya perkara-perkara yang berada dalam kawalan kita,” katanya yang memberitahu, tempoh sehingga Rabu mungkin masih diperlukan untuk menyelesaikan saki-baki pengguna akaun yang masih berdepan dengan masalah ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI