LONDON – Penjaring dua gol Newcastle United, Callum Wilson mengakui ‘perpisahan’ selama tempoh dua tahun dengan Eddie Howe menjadikan dirinya sebagai pemain lebih baik dan mengelak daripada berasa terlalu selesa.
Kelmarin, dua gol Wilson membolehkan The Magpies catatkan keputusan seri 2-2 dengan Leeds dan sejak menyertai Newcastle United pada 2020, penyerang itu sudah pun merekodkan 36 gol dalam 72 penampilan di Liga Perdana Inggeris.
“Saya merasakan saya ‘terkeluar’ daripada pasukan apabila berada terlalu lama dan mula ada rasa berpuas hati. Persaingan ini membolehkan saya serlahkan kemampuan terbaik yang saya ada.
“Saya pernah bersama Howe untuk tempoh enam atau tujuh tahun di Bournemouth. Saya bersyukur berpisah dengannya untuk tempoh dua tahun bagi kembali mendapatkan kualiti permainan sebenar.
“Apabila kamu berlatih seperti ini, kamu akan lihat hasilnya ketika dalam padang,” katanya yang dihimpit kecewa selepas Luke Ayling dan Rasmus Kristensen menghasilkan dua jaringan buat Leeds United.
Ketika mula melatih pasukan, Howe berdepan tugas kesukaran kerana Newcastle United berada di tangga ke 19, namun dalam tempoh 18 bulan, pengurus itu sudah meletakkan pasukan untuk layak ke Liga Juara-Juara.
“Cara pengurusan saya cukup sukar, namun persaingan ini adalah untuk pemain kerana saya mahu mereka mengharungi kerjaya terbaik yang pernah mereka lalui,” kata Howe. – AGENSI