fbpx

Dua ditahan, gagal pasarkan 500kg ketam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APMM Selangor menunjukkan ketam yang dirampas dari sebuah bot tanpa lesen di sekitar Perairan Tanjung Gabang.

KLANG – Tindakan dua lelaki membawa 500 kilogram (kg) ketam menggunakan bot tanpa lesen hanya memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa di sekitar Perairan Tanjung Gabang, Kuala Langat dekat sini semalam.

Penahanan kedua-dua suspek warga tempatan berusia 42 dan 48 tahun dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pukul 12.41 tengah hari dengan nilai keseluruhan ketam itu dianggarkan RM9,000.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, pengesanan kedudukan bot dalam keadaan mencurigakan itu diperoleh hasil maklumat pusat kawalan kawasan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA).

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati bot fiber berwarna biru putih tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan oleh dua lelaki warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 43 kotak gabus putih mengandungi ketam seberat 500kg dianggarkan berharga RM9,000 yang diletakkan di dalam bot.

“Siasatan awal ke atas kru bot mendapati mereka membeli ketam dari Pulau Ketam dan ingin menuju ke Tanjung Gabang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan ketam tersebut baru dua jam dibeli oleh kedua-dua suspek dan dipercayai pasaran tempatan.

Ini juga merupakan kesalahan pertama mereka.

Tambah beliau, kesemua barangan berserta bot dan kru ditahan serta telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau indah untuk siasatan lanjut.

Tegas Siva Kumar, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan beroperasi tanpa lesen bot yang sah dan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Maritim Malaysia memandang serius sebarang salah laku di laut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI