PETALING JAYA – Penceramah bebas, Ustaz Muhaizad Al- Yamani mengingatkan agar pengikut parti politik tidak terlalu taksub sehingga sanggup mengajak jemaah umrah mendoakan kejatuhan kerajaan di Tanah Suci Mekah.
Jelas beliau, apa yang perlu dilakukan adalah individu itu perlu membawa hajat serta mendoakan agar Allah baiki kehidupan kita dan kerajaan yang ada sekarang untuk memerintah rakyatnya dengan lebih baik.
“Sepatutnya bawa hajat bawak doa agar Allah baiki kehidupan kita, agar Allah bimbing mereka (kerajaan) untuk memerintah dengan lebih baik lagi bukan doakan untuk hancurkan kerajaan.
“Jika doakan kejatuhan kerajaan, adakah kerajaan baru akan lebih baik, sama sahaja. Doakan yang baik-baik untuk Allah bantu mereka untuk memerintah,” jelasnya melalui satu video soal jawab di Facebook baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab satu pertanyaan berkenaan apakah hukum bagi seorang ustaz yang mengajak jemaah Umrah untuk sama-sama mendoakan kerajaan ketika ini hancur.
Tambah Muhaizad lagi, perbuatan tersebut adalah taksub di mana pengikut parti tertentu ini begitu taksub dan hanya mempercayakan parti mereka sahaja yang mampu menjadi kerajaan yang bagus.
“Ini taksub, kenapa taksub sebab mereka percaya hanya kumpulan (parti) dia sahaja yang mampu membuat kebaikkan. Kumpulan lain tidak boleh membuat kebaikkan.
“Sama sahaja, siapa-siapa naik pun sama sahaja, jadi yang lebih baik adalah mendoakan kebaikkan dan bimbingan Allah dalam memerintah negara,” jelasnya lagi. – KOSMO! ONLINE.