DALAM usaha memupuk semangat keusahawan dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor buat julung kalinya menganjurkan program Createprenuer sejak Januari lalu.
Bertemakan ‘Kami Ajar, Anda Jual’, program khas yang diperkenalkan oleh Penolong Naib Canselor Keusahawanan, Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang itu mendapat kerjasama Akademi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Pembangunan Keusahawanan Malaysia (MASMED) serta pihak UiTM.
Menurut Salmiah, program Createpreneur itu dapat memupuk serta memperkukuhkan bidang keusahawanan di peringkat universiti.
“Program ini berbentuk projek bulanan yang berlangsung setahun dari Januari hingga Disember 2023.
“Program ini merupakan satu perkongsian dan pemindahan ilmu daripada pihak industri luar serta tenaga akademik (pensyarah) dalam pelbagai bidang keusahawanan seperti makanan, pakaian, kecantikan, kafe, gig ekonomi dan banyak lagi.
“Program ini juga menyasarkan penyertaan mahasiswa dan staf UiTM bagi memupuk minda keusahawanan dalam kalangan mereka.
“Ia bertepatan dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2023 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan berjaya,” katanya.
Tambahnya, program yang mendapat sambutan ramai itu juga boleh menyuntik inspirasi, kemahiran keusahawanan dan sokongan kepada pelajar serta para graduan untuk membina perniagaan berjaya.
“Keusahawanan di peringkat ini penting kerana universiti dianggap sebagai pusat inovasi dan kreativiti dalam pembangunan keusahawanan.
“Melalui program universiti seperti ini, pelajar dan graduan dapat mengembangkan kemahiran keusahawanan, berniaga serta membina jaringan perniagaan.
“Usaha ini secara tidak langsung membantu memudahkan graduan mendapatkan sokongan kewangan untuk memulakan perniagaan mereka sendiri kelak,” katanya.
Createpreneur berjaya dianjurkan pada suku pertama tahun ini yang melibatkan para akademik daripada pelbagai bidang dan cawangan UiTM serta para usahawan berjaya di seluruh negara.
Antara usahawan yang terlibat adalah jenama sos popular di utara iaitu Mudim, Klinik Renora, FMC Beauty & Spa, Hani D’Unggul, Noir, Thermomix, Mahani Moleque Jewellery dan Leeyana Rahman.
Menariknya, ada juga dalam kalangan usahawan dan pemilik perniagaan merupakan alumni UiTM sendiri.
“Program ini akan terus menghimpunkan usahawan-usahawan terutamanya alumni UiTM untuk memberi inspirasi kepada mahasiswa.
“Usaha ini juga diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam bidang keusahawanan dan akademik pada masa depan.
“Bagi siri ketiga, program ini mempunyai satu nilai tambah yang mana aktiviti komuniti sosial telah diadakan.
“Aktiviti komuniti ini melibatkan wanita daripada rumah kebajikan Darul Wardah bersama dengan warga UiTM.
“Tidak sekadar menimba ilmu keusahawanan semata-mata, para peserta turut didedahkan dengan kemahiran jahitan tangan dan manik.
“Aktiviti berkenaan mampu menjana pendapatan sampingan atau gig ekonomi kepada peserta.
“Kami turut bekerjasama dengan label ternama, Leeyana Rahman dan Biore bagi mendapatkan sumbangan cenderamata kepada penghuni rumah kebajikan serta warga UiTM yang menyertai program ini,” katanya.
Antara aktiviti lain yang dianjurkan pada program selama sehari itu adalah peragaan fesyen Muslimah, jualan makanan, buku, barangan dan pasar percuma oleh Kolej Pengajian Kejuruteraan serta MASMED.
Kesemua aktiviti Createpreneur berlangsung di Kompleks Usahawan, MASMED UiTM, Shah Alam, Selangor.
Program Createpreneur dikendalikan oleh Fatrisha Mohamed Yussof dan Dr. Nik Raihan Nik Him selaku pengarah program dalam memastikan setiap aktiviti berjalan lancar seperti dirancang.
Sementara itu, salah seorang mahasiswa UiTM, Nurlysha Abu Hassan berkata, program tersebut secara tidak langsung dapat memberi manfaat dan peluang kepada mahasiswa dalam membentuk asas perniagaan.
“Program ini sedikit sebanyak dapat membantu membuka mata pelajar tentang bagaimana cara memulakan perniagaan.
“Input yang dikongsikan turut membantu kami golongan mahasiswa memupuk minat dalam bisnes.
“Ini secara tidak langsung dapat mendorong kami menceburkan diri dalam bidang usahawan,” ujarnya yang merupakan pelajar tahun kedua dalam jurusan komunikasi media.