JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi sebuah kereta Honda City terbabas ke dalam gaung apabila dipandu oleh pemiliknya yang cuba belajar memandu, lapor laman berita Liputan 6 semalam.
Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @terang_media. Kejadian itu dikatakan berlaku di daerah Jatinom, wilayah Jawa Tengah.
Ketua Polis Daerah Jatinom, Nahrowi menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) Rabu lalu.
Menurut Nahrowi, kereta itu terjatuh ke dalam gaung pada kedalaman kira-kira 20 meter.
Kejadian itu bermula ketika Sudadi, 65, sedang belajar memandu di sebuah padang sambil ditemani rakannya, Kusminato, 58.
Kereta dipandu Sudadi tiba-tiba hilang kawalan lalu terlanggar tiang gol sebelum terjatuh ke dalam gaung di hadapan.
“Oleh kerana tidak berhati-hati dan dan melanggar tiang gol, kereta itu masuk ke dalam sungai,” jelas Nahrowi.
Dua lelaki itu mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital PKU Muhammadiyah Jatinom manakala kereta yang remuk itu diangkut oleh penduduk ke darat. – Agensi