PETUNJUK indeks prestasi (KPI) yang ditetapkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk meraih 10 pingat emas tidak kesampaian selepas acara olahraga temasya Sukan SEA Kemboja 2023 melabuhkan tirai kelmarin.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim mengakui sedikit tidak puas hati dengan prestasi kem olahraga negara, tetapi dalam masa yang sama melihat apa yang ditampilkan sepanjang saingan di Stadium Nasional, Morodok Techo sebagai memuaskan.
Shahidan berkata, harapan kem olahraga negara untuk membawa pulang lebih banyak pingat emas berdasarkan kepada perkiraan dan prestasi terkini atlet di temasya dwitahunan itu.
“Mana nak puas hati… kalau dapat 12 emas barulah saya puas hati, namun jika ikut perkiraan lima (pingat emas) tambah tiga (pingat perak) nak dekat 10 emas sekali gus hampir mencapai sasaran.
“Namun, saya bersyukur kerana usaha gigih yang dilakukan dalam jangka masa singkat menunjukkan petanda positif.
“Selain itu, kita berjaya meraih 12 pingat gangsa yang rata-rata disumbangkan oleh barisan atlet muda kebangsaan yang baru sertai Sukan SEA dan saya anggap mereka ada masa depan cerah.
“Pada masa akan datang mereka akan menggantikan atlet senior dan ini adalah perancangan jangka panjang,” katanya.
Sebagai rekod, kem olahraga mengakhiri saingan di Sukan SEA Kemboja dengan lima emas, tiga perak, manakala 12 gangsa selain dua rekod kebangsaan berjaya dicipta menerusi acara 400 meter (m) individu lelaki dan kuartet 4x100m wanita.
Atlet yang menyumbang emas pada edisi kali ini adalah Umar Osman dalam acara 4x400m, Shereen Samson Vallabouy (400m individu wanita), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Grace Wong (baling tukul besi) dan Andre Anura Anuar (lompat kijang).
Keputusan kali ini menunjukkan peningkatan berbanding edisi 2021 di Vietnam, tahun lalu menyaksikan kem olahraga negara membawa pulang lima emas, tiga perak dan lapan gangsa.