fbpx

Rakan cerita detik sebelum dua penuntut KKTM lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang pengunjung sedang mencari mayat mangsa di Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun

DUNGUN – Seorang pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman menyesal apabila gagal menghalang dua rakannya yang maut akibat lemas daripada mandi di kawasan berbahaya di Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun di sini kelmarin.

Muhammad Falmie Hakimi Yahya, 19, berkata, pada mulanya dia melarang dua rakan sekelas­nya itu, Ahmad Syahid Hamdan dan Muhammad Ridhwan Zawawi masing-masing berusia 19 tahun daripada mandi di kawasan lubuk yang agak dalam.

Katanya, larangan itu dibuat selepas penduduk kampung berpesan agar mereka tidak mandi di kawasan air terjun setinggi lima meter itu yang bukan sahaja tidak selamat malah telah mengorbankan banyak nyawa sebelum ini.

“Ini kali pertama kami me­ngunjungi Air Terjun Lubuk Kain yang selama ini hanya diketahui menerusi media sosial.

“Ahmad Syahid dan Muhammad Ridhwan teruja mengajak saya naik ke kawasan lebih tinggi. Pada mula saya melarang, namun kemudiannya ikut sama setelah kagum dengan kecantikan dan kejernihan airnya,” katanya.

Berita berkaitan: Dua pelajar KKTM Kemaman mati lemas di lubuk kain

Kosmo! kelmarin melaporkan, Ahmad Syahid dan Muhammad Ridhwan yang merupakan pelajar semester kedua Diploma Kejuruteraan Elektrik KKTM Kemaman maut akibat lemas di kawasan perkelahan terkenal itu pada pukul 11.20 pagi.

Muhammad Falmie Hakimi berkata, dua rakannya itu sangat teruja untuk terjun dari tebing batuan namun dia tidak turut serta kerana kurang yakin kemampuannya untuk berenang.

“Dua rakan saya itu diketahui memang mahir berenang, namun saya cemas apabila mereka tidak timbul-timbul selepas melakukan terjunan tersebut.

“Saya menjerit meminta pertolongan rakan-rakan sekelas lain yang berada kira-kira 300 meter dari kami,” katanya.

Salah seorang pengunjung sedang mencari mayat mangsa di Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun

Muhammad Falmie Hakimi berkata, dia terkedu apabila mayat kedua-dua rakannya yang sebelum itu amat ceria dibawa naik beberapa pengunjung lain dari dasar kawasan air terjun terbabit tidak lama kemudian.

Katanya, dia tidak menyangka hasrat dia dan 17 rakan terma­suk dua mangsa untuk bersantai pada hujung minggu dan mengulang kaji pelajaran sebelum menduduki peperiksaan pada 23 Mei ini berakhir dengan tragedi.

“Kami merupakan pelajar jurusan Diploma Elektrik dan ini kali pertama berkelah bersama-sama di Air Terjun Lubuk Kain.

“Sebelum mandi, kami yang tiba pada pukul 10 pagi, makan bersama-sama. Dua arwah (Ahmad Syahid dan Muhammad Ridhwan) sangat ceria dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI