KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam usaha mempergiatkan kawalan berhubung tindakan menyekat berita palsu yang boleh membawa kepada unsur kebencian sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
TImbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, sebuah pasukan petugas khas (taskforce) telah diwujudkan sejak Disember lalu yang memfokuskan kepada mencegah penyebaran berita palsu serta ucapan berunsur kebencian terutamanya di media sosial.
Katanya, KKD sedar bahawa semasa kempen PRN yang bakal berlangsung tidak lama lagi secara tidak langsung akan menyebabkan wujudnya lebih banyak berita palsu yang objektifnya menyebarkan salah faham serta kebencian kepada kalangan pembaca.
“Jadi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerja secara rapat untuk memantau ucapan-ucapan dalam sosial media bagi memastikan tindakan dapat diambil.
“Di sini juga saya ingin mengalakkan semua pembaca dan pengguna media sosial untuk ‘klik’ dengan bijak, pada masa sama selalu rajin menyemak fakta,” katanya ketika ditemui pemberita di Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai itu berkata, KKD akan memastikan setiap enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan yang bakal diadakan PRN nanti mempunyai pusat media bagi memudahkan para wartawan melakukan liputan selain menyampaikan berita secara sahih kepada umum.
“KKD ingin memastikan semasa PRN dijalankan semua kerja wartawan dapat berjalan secara lancar. Jabatan Penerangan akan pastikan bahawa enam negeri tersebut mempunyai pusat media yang didirikan.
“Untuk anggota-anggota media yang datang daripada luar negara dan sekiranya berminat melakukan liputan untuk PRN, mereka boleh memohon tag wartawan daripada Jabatan Penerangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.