KUALA LUMPUR – Wanita Perpaduan menyifatkan politik kepartian dan perkauman telah menjauhkan rakyat negara ini daripada semangat Malaysia yang asal.
Pengerusi Wanita Barisan Nasional, Datuk Seri Noraini Ahmad mengajak setiap jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama berganding bahu membawa satu perubahan yang lebih baik untuk rakyat.
“Bila kita melihat Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini, struktur dan kerangkanya sudah jelas. Ia merangkumi semua parti yang terlibat melangkaui sifir politik, agama dan kaum. Satu kerjasama yang didambakan oleh semua.
“Namun, apakah kestabilan dan kerjasama ini telah dapat dizahirkan di semua peringkat? Kita tidak boleh bertangguh lagi, kerjasama dan kestabilan ini perlu turut dirasai rakyat dan ahli parti,” katanya ketika menyampaikan perbahasan dalam bicara wanita sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.
Katanya lagi, dengan gabungan besar merangkumi 19 parti yang sarat dengan pengalaman dan potensi ini tidak boleh disia-siakan.
“Ini bukanlah masa untuk kita mencari silap dan salah, ini bukan lagi masa untuk kita ungkit kisah dan cerita lama. Kita perlu fokus dan jadikan konvensyen ini sebagai titik mula kepada sebuah agenda yang lebih besar, tekad bersama.
“Kerajaan Perpaduan kini membawa harapan rakyat yang sangat besar. Inilah masanya kita kembalikan kemakmuran rakyat dengan bersatu hati dan menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas,” ujarnya.
Sehubungan itu, Noraini turut menekankan tiga perkara utama yang perlu diberi fokus kepada Wanita Perpaduan selari dengan perjuangan kerajaan hari ini iaitu memastikan kesiapsiagaan wanita dalam mendepani cabaram ekonomi yang semakin mencabar.
“Kedua, penglibatan 30 peratus wanita dalam pembuat dasar mesti kerajaan laksanakan dan meletakkan lebih ramai golongan wanita dalam semua sektor kerajaan dan setara dalam sektor swasta,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE.