DARWIN, Australia – Seorang penjaga buaya wanita di Australia diserang oleh reptilia sepanjang 4.87 meter (m) itu sehingga menyebabkan dia kehilangan banyak darah, lapor laman berita Daily Mirror semalam.
Wanita berusia 34 tahun itu sedang meletakkan tumbuhan ke dalam kandang seekor buaya bernama Leo apabila ia menyerangnya secara tiba-tiba pada 29 April lalu di Crocosaurus Cove.
Penonton berkata, wanita tersebut bernasib baik kerana masih terselamat dalam serangan tersebut. Ia dipercayai kali pertama seekor buaya sebesar itu menggigit salah seorang pekerja di taman berkenaan.
Sebelum ini, terdapat insiden serupa di taman reptilia tersebut, namun dilakukan oleh buaya yang lebih kecil.
Seorang pelancong berkata bahawa dia terdengar kakitangan di taman itu bercakap mengenai serangan tersebut dan mereka berkata bahawa terdapat banyak darah, lapor akhbar NT News.
Akhbar itu turut memetik sumber sebagai berkata, pekerja berkenaan bernasib baik kerana dia tidak kehilangan anggota badan akibat serangan tersebut.
Jurucakap organisasi memberi perlindungan kepada pekerja, NT WorkSave mengesahkan serangan itu berlaku sambil menambah, siasatan kini sedang dijalankan.
“Disebabkan privasi pesakit, kami tidak dapat memberikan sebarang butiran lanjut mengenai kecederaan itu. Disebabkan siasatan sedang berjalan, tiada ulasan lanjut akan diberikan, “ katanya. – Agensi