SUNGAI PETANI – Tiada apa yang diharapkan daripada seorang ibu tunggal selain berdoa agar terus diberikan kesihatan terbaik bagi membolehkannya terus menjaga dua anak lelaki yang mengalami masalah terencat akal.
Satariah Ahmad, 66, dari Kampung Tempoyak, Merbok dekat sini berkata, dia cekal untuk bersendirian menjaga dan menguruskan dua anak lelaki istimewanya sejak 43 tahun lalu.
Kata Satariah, dua anak lelakinya iaitu Jamaluddin Abu Hassan, 43, dan Mohd. Shukri, 32, dikesan mengidap penyakit itu sejak kecil sehingga mereka tidak mampu menguruskan diri sendiri.
“Saya tidak seperti ibu lain yang mempunyai banyak masa terluang, sebaliknya perlu membahagikan masa mengikut kesesuaian kerana dua anak kesayangan ini perlukan perhatian sepanjang masa.
“Bagaimanapun, saya sama sekali tidak pernah mengeluh kerana beranggapan dua anak istimewa ini merupakan amanah Allah untuk dijaga sebaik mungkin,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Merbok, baru-baru ini.
Menurut Satariah, dia mempunyai dua lagi anak perempuan berusia 50 tahun dan 25 tahun hasil perkahwinan dengan suaminya, namun kedua-dua anaknya tinggal berasingan selepas mendirikan rumah tangga.
“Beban saya tidak seberat 15 tahun lalu kerana ketika itu, suami masih hidup dan dia turut membantu mengurus anak kami.
“Selepas suami meninggal dunia kerana lemas di laut, saya yang terpaksa mengambil tanggungjawab mengurus rumah, menyediakan makan minum anak-anak dan menjaga kebajikan harian mereka,” katanya.
Menurut Satariah, setiap kali keluar membeli barangan rumah atau membeli juadah, dia sentiasa berdoa semoga Allah memelihara dan menjaga dua anak istimewa yang ditinggalkan.
“Saya tidak mengunci pintu ketika meninggalkan mereka kerana bimbang keselamatan jika rumah terbakar atau sebagainya.
“Apa yang mampu saya lakukan ialah berdoa agar keselamatan dua anak saya terpelihara dan dalam masa sama saya diberi kesihatan yang baik untuk mengurus mereka,” katanya.
Kata Satariah, dia bersyukur kerana ketika ini menerima wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah kategori anak cacat selain bantuan zakat bagi menampung kehidupannya.