MANCHESTER – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mendakwa para pemainnya berdepan situasi memenatkan selepas terpaksa mengharungi jadual yang cukup padat dan berdepan kesukaran untuk kekal berdaya saing pada baki saingan musim ini.
Malam ini, City akan berkunjung ke Goodison Park untuk menghadapi Everton, namun Guardiola lega kerana setiap pemainnya cukup faham dengan situasi dihadapi pasukan ketika ini.
“Kami bermain dalam semua pertandingan dan kami perlu menyesuaikan diri. Kami masih ada empat perlawanan Liga Perdana Inggeris dan ia cukup penting untuk menentukan nasib pasukan.
“Jika kami mampu menang dalam perlawanan terdahulu, mentaliti pastinya akan bertambah baik. Saya yakin jika kami sendiri fikir tentang keletihan, kami akan gagal, namun jika kami fikir kami mampu, sudah pasti kami berjaya.
“Letih adalah perkara normal, namun dalam masa sama, jika keinginan dan mental kami berada di tempat yang betul, sudah pasti kami akan lebih bertenaga. Usah lagi bergaduh tentang jadual kerana inilah yang kami terpaksa lalui,” katanya.
Selepas harungi 34 aksi, City kini kumpul 82 mata, berkelebihan satu mata berbanding Arsenal yang sudah pun bermain lebih satu perlawanan.
“Saya fikir Arsenal sudah pasti akan cuba memenangi baki tiga perlawanan selepas ini. Saya mungkin suka jika mereka tercicir mata, namun saya rasakan mereka tetap akan raih sembilan mata maksimum,” jelasnya. – AGENSI