BIARPUN ibu dan bapa adalah individu yang lebih tua dan terdahulu makan garam daripada kita, namun mereka juga manusia dan ada kalanya tersilap dalam mendidik anak-anak.
Bagi Zam (bukan nama sebenar), sikap bapanya diibaratkan cukup keterlaluan dalam segala aspek sehingga menyebabkan dia tidak pernah menghormati lelaki itu dan berdendam sehingga ke akhir hayat.
Bagi Zam, bapanya menjadi punca kepada banyak masalah dalam hidup dia, ibu dan juga adik-adiknya.
Membuka bicara, Zam berkata, dia dilahirkan dalam sebuah keluarga sederhana. Ibunya dahulu merupakan seorang pengasuh, manakala bapanya pula seorang pekerja swasta.
Bagaimanapun, bapa Zam yang hanya dikenali sebagai Sabri merupakan seorang lelaki yang kerap menimbulkan masalah dalam hidup mereka sekeluarga.
“Bapa merupakan seorang pekerja bahagian teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta.
“Namun, bapa mempunyai sikap panas baran yang sukar dikawal sehingga menyebabkan dia akhirnya dibuang kerja berkali-kali,” ujar Zam.
Tambah lelaki berusia 28 tahun itu lagi, bapanya juga merupakan seorang kaki pukul, tidak pernah berpuasa serta gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa kepada keluarga.
“Bapa sudah banyak kali memaki hamun ibu disebabkan kesalahan yang kecil.
“Selepas puas memaki hamun, dia akan memukul pula ibu sesuka hatinya di hadapan kami semua tanpa rasa bersalah.
“Bapa juga tidak pernah menunaikan solat dan berpuasa. Sejujurnya, saya malu mempunyai bapa sepertinya,” katanya.
Apa yang membuatkan Zam lebih membenci bapanya adalah kerana sikap lelaki itu yang sering menghabiskan wang ibu dan adik-beradik yang lain untuk benda-benda tidak berfaedah.
Ujar Zam, mereka sekeluarga sebelum ini hanya hidup menyewa.
Katanya, selepas kakak sulungnya mendapat pekerjaan yang baik, barulah mereka sekeluarga dapat menumpang senang dan membeli rumah sendiri.
“Kakak membeli rumah yang lebih selesa untuk kami sekeluarga. Itu pun bapa masih mengeji kakak dengan mengatakan rumahnya itu sempit dan hiasan dalamannya tidak ‘kena’ dengan seleranya,” ujar Zam.
Sabri juga memaksa semua anak-anaknya untuk mengeluarkan wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika tempoh pandemik yang lalu untuk diberikan kepadanya.
Jika tidak ditunaikan, dia akan membelasah mereka sesuka hatinya.
“Selepas kami memberikan wang tersebut kepadanya, bapa terus membolot kesemuanya dan tidak meninggalkan walau sesen kepada kami.
“Sejujurnya, saya benar-benar hilang hormat pada bapa dan amat membencinya,” katanya.
Sekitar penghujung 2021, Sabri diserang strok sehingga menyebabkan dia terlantar di hospital.
Tidak lama kemudian, dia meninggal dunia. Sepanjang tempoh itu, Zam berkata, tiada sesiapa pun yang sudi menjaga atau menjenguk Sabri.
Ujarnya, lebih menyedihkan lagi, Sabri meninggal dunia dalam keadaan berseorangan di hospital. Selepas kematian lelaki itu, Zam mengaku kehidupan keluarganya lebih tenang.
Zam juga sehingga kini masih belum memaafkan bapanya, biarpun lelaki itu sudah tiada.
“Saya tahu mungkin ada yang mengecam saya dan menganggap saya berdosa kerana enggan memaafkan bapa.
“Namun, saya tetap dengan keputusan saya. Bagi saya, bapa tidak layak dimaafkan sama sekali,” katanya.