PENYANYI meningkat naik, Aufahanie masih terlalu asing dalam industri muzik tanah air.
Insiden dikecam hebat apabila terkucil ketika secara langsung sebuah program televisyen, sedikit pun tidak mematahkan semangatnya bahkan menjadi salah satu penyebab untuk terus berjuang apabila mara sebagai seorang peserta Big Stage 2023.
Peluang tersebut membuka ruang dan peluang untuk penyanyi berusia 20 tahun itu memperkenalkan diri dan namanya dalam industri muzik.
Bagaimanapun, Aufa mengakui bahawa tujuan utama penyertaannya adalah untuk mencari identiti sendiri memandangkan sebelum ini vokal sering dibandingkan dengan penyanyi lebih senior seperti Sarah Suhairi dan Dayang Nurfaizah.
“Saya mahu cari identiti saya sendiri, pada saya, saya tidak pernah merasakan suara saya sama seperti Dayang mahupun Sarah Suhairi namun itulah respon yang saya terima, suara dikatakan sama.
“Apa yang saya boleh buat, saya menyanyi sehabis baik dan elak kedengaran seperti mereka. Saya memang idolakan mereka, saya rujuk nyanyian mereka, tapi saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak meniru atau terikut dengan cara nyanyian mereka,” ujarnya.
Disoal sama ada rimas asyik dibandingkan, Aufahanie atau nama lengkapnya Nur Aufahanie Mokhtar itu mengakui segan, namun pada masa yang sama menganggap perbandingan sebegitu sebagai satu pujian selain motivasi untuk terus berusaha menjadi lebih baik.
“Saya segan, namun anggap sebagai pujian dan motivasi apabila dibandingkan sebab saya sedar suara saya biasa-biasa sahaja kalau nak dibandingkan penyanyi hebat seperti Dayang dan Sarah Suhairi.
“Bila ramai cakap macam sama, saya rasa macam mungkin saya ada potensi untuk jadi penyanyi bagus macam mereka, perbandingan memberi motivasi dan saya tidak pernah rimas dengan perbandingan tersebut,” kata Aufa.
Menerima hakikat bakat dan rupa sahaja tidak cukup, pelantun lagu Geming Jiwa itu mahu membawa kelainan penampilannya ketika dalam pertandingan atau persembahan pentas.
“Saya akan bawa kelainan dari segi emosi. Tenaga pengajar di Big Stage mengatakan bahawa saya mempunyai emosi yang berat apabila menyanyi, jadi saya harus memilih lagu yang sarat dengan emosi agar pembawaan menjadi lebih cemerlang dan lain daripada yang lain.
“Untuk tampilkan sisi diri yang istimewa berbanding peserta lain, saya yakin semua itu cenderung ke arah emosi saya,” jelasnya.
Anak keenam daripada tujuh adik beradik juga menyimpan hasrat besar untuk berduet mahupun berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi hebat tanah air.
“Saya teringin berduet dengan Khai Bahar, dia antara penyanyi lelaki yang bagus. Kalau penyanyi perempuan pula, pastinya saya mahu berkolaborasi dengan Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri.
“Tidak kisahlah ada lagu sama-sama atau menyanyi bersama-sama, asalkan saya dapat bekerjasama dengan mereka.
“Itu merupakan antara impian saya apabila masuk dalam industri seni,” kata Aufa.