fbpx

Anak-anak Mohd. Diya sebak terima jaket keselamatan bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD DANISH dan adiknya, Nurul Anisah menerima peralatan digunakan Allahyarham bapa mereka pada majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Melaka, hari ini. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Ahli keluarga anggota bomba, Mohd. Diya Che Jusoh, yang meninggal dunia akibat lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir pada 2021 sebak selepas menerima peralatan penyelamatan digunakan Allahyarham dalam operasi terakhirnya.

Peralatan itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd. Ali Mohd Rustam kepada dua anak mangsa, Muhamad Danish Hakim, 14, dan Nurul Anisah Ilya, 11, sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini, hari ini.

Balunya, Noraida Che Noh, 41, ketika ditemui pemberita berkata, meskipun sudah dua tahun tragedi itu berlaku, namun keluarganya masih lagi merasai kehilangan mangsa, terutama anak bongsunya, Nurul Anisah.

“Hari ini kami sekeluarga berasa sangat sebak kerana diberikan topi dan jaket keselamatan yang dipakai Allahyarham ketika menyelamatkan mangsa banjir di Sungai Putat.

“Nurul Anisah paling terkesan kerana dia sangat manja dengan arwah dan disebabkan itu juga Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Abu Bakar Katain telah mengambilnya sebagai anak angkat bagi membantu mengubat kerinduan pada bapanya itu,”katanya.

Mengulas lanjut, Noraida turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan JBPM kerana terus-menerus memberikan pelbagai bentuk sokongan terutama kepada empat anaknya.

“Sehingga hari ini kami menerima kunjungan dan bantuan daripada JBPM termasuklah soal pendidikan anak-anak, dengan yang sulung kini menuntut di Kolej Komuniti dalam jurusan automotif dan kedua sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kami berterima kasih dan bersyukur kerana pengorbanan dilakukan arwah demi negara sentiasa dikenang dan nasib kami sekeluarga dibela dengan sangat baik,” ujarnya.

Pada 20 Oktober lalu, media melaporkan Mohd. Diya, 46, yang berpangkat Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll meninggal dunia selepas tergelincir dan ditolak arus deras ketika menjalankan kerja memasang tali di kawasan banjir di Kampung Sungai Putat.

Ketika kejadian Allahyarham sedang membantu 14 penduduk Kampung Sungai Putat yang terperangkap di dalam kediaman rumah untuk keluar kawasan bencana itu. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI