PETALING JAYA – Pernah dituduh sebagai penyondol dalam rumah rumah tangga Farid Kamil dan Diana Danielle, pelakon baharu Ahirine Ahirudin berharap kemelut yang melanda pasangan itu dapat diselesaikan secara baik.
Katanya, sebagai rakan dalam industri yang pernah bekerjasama dan melihat kebahagiaan mereka, sudah pasti dia terkejut apabila dimaklumkan kedua-duanya kini dalam fasa menyelesaikan kemelut rumah tangga di mahkamah syariah.
“Sudah pun terbukti antara saya dan Farid hanyalah kawan. Saya pun dah lupakan hal itu apatah lagi sebelum ini kami cuma berhubung secara profesional terutama jika ada latihan Muay Thai atau menyertai lumba motor.
“Saya juga pernah berlatih dengan isterinya, Diana, tetapi mungkin orang salah faham gara-gara gambar kami berdua ketika mempromosikan filem Remp-It 2.
“Tentu saya terkejut tengok berita membabitkan Farid dan Diana kerana saya nampak mereka pasangan serasi yang mesra dan bahagia. Saya cuma mampu mendoakan dengan baik,” katanya kepada Kosmo! Online.
Penggiat seni berusia 26 tahun ini turut mengakui ketika gosipnya sebagai orang ketiga tersebar sejak tahun lalu, sedikit sebanyak tuduhan tersebut telah mencemarkan namanya selaku pendatang baharu dalam industri hiburan.
“Ketika itu saya memang agak ‘down’ (sedih), tetapi mujur keluarga terutama bapa saya yang turut terbabit dalam bidang media memahami situasi ini.
“Mereka tahu hal sebenar, selain sebelum itu sudah nasihatkan risiko apabila terbabit dalam arena hiburan. Jadi saya pun bangkit semula,” katanya.
Terdahulu, bintang filem Gadis Jolobu The Movie itu menjadi sasaran kecaman netizen apabila berkongsi gambar bersama Farid yang mengakibatkannya dituduh sebagai punca keretakan rumah tangga aktor berkenaan. – KOSMO! ONLINE