MEMILIKI ruang kediaman dengan sentuhan tatarias mengikut cita rasa tersendiri sememangnya menjadi impian setiap pemilik rumah.
Biarpun mendiami kediaman kos rendah, namun kreativiti seseorang pemilik mampu mengubah suasana dalaman rumah kelihatan serba mewah.
Itu yang berlaku pada kediaman berkeluasan 6 x 12 meter persegi milik pasangan, Nooraliza Mamat, 36, dan Mohd. Yusri Abdul Razak, 35, di Kuala Ibai, Terengganu.
Menggunakan tema monochrome dengan sedikit sentuhan keemasan pada ruang tamu bagi menimbulkan ‘mood glam’.
Menurut Nooraliza, ruang tamunya dihias khas sebagai tempat menyambut tetamu sekiranya ada yang datang bertandang.
“Saya menggunakan warna hitam, putih dan kelabu di ruang tamu. Warna keemasan ditambah bagi menyuntik rasa mewah.
“Susun atur perabot memainkan peranan penting apabila ruang rumah agak sempit.
“Saya mahu memberikan inspirasi kepada pemilik rumah kos rendah bahawa mereka juga boleh melakukan konsep ini,” katanya yang telah tinggal di kediaman itu sejak tahun 2010.
Bagi ruang makan yang terletak di pintu masuk dan bersebelahan dengan ruang tamu, Nooraliza menerapkan ciri-ciri minimalis.
Sebuah troli hidang berwarna keemasan diletak di tepi sudut meja makan kayu dengan enam kerusi bagi memberikan kesinambungan konsep antara dua ruang tersebut.
Kongsinya, penggunaan cermin dinding besar dan bidai berwarna putih memberikan ilusi keluasan pada ruang tersebut.
“Bidai digunakan bagi menggantikan langsir agar tidak nampak redup dan serabut.
“Ini juga memberikan saya ruang untuk meletakkan pasu bunga di kawasan ruang makan sebagai aksesori,” jelasnya yang menggunakan duit kutu untuk membeli barang hiasan rumah.
Mengulas mengenai ruang kegemarannya, suri rumah sepenuh masa itu memilih bilik rehat keluarga sebagai tempat paling ‘tenang’.
Bilik tidur yang diubah suai menjadi ruang menonton televisyen dengan sofa kecil merupakan tempat privasi untuk kedua-dua anaknya.
Jelas ibu kepada dua anak lelaki itu, ruang yang terhad bukan alasan untuk tidak mewujudkan keselesaan pada keluarganya.
“Sekiranya tetamu bertandang, anak-anak saya boleh duduk di dalam bilik keluarga dan menonton siaran kegemaran mereka.
“Dengannya adanya pintu bercermin, tetamu tidak akan masuk kerana mereka faham, itu adalah ruang privasi,” katanya yang banyak mendapatkan bahan rujukan di internet.
Menjengah ke ruang dapur, Nooraliza menggunakan konsep monochrome hitam dan putih sepenuhnya.
Kesemua perkakas dapur diletakkan di dalam kabinet agar keadaan dapur yang sempit tampak lebih luas dan kemas.
Di bahagian hadapan rumah pula, Nooraliza menyediakan dua kerusi taman khas bagi membolehkan keluarganya bersantai pada waktu petang.
Secara keseluruhan, Nooraliza telah menghabiskan lebih RM30,000 untuk merealisasikan kediaman impiannya itu.