TELUK INTAN – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Perak dekat Jeti Kampung Terengganu, di sini semalam.
Kehilangan remaja itu dilaporkan orang awam berikutan penemuan beg sekolah, baju dan seluar dipercayai milik mangsa di jeti berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.17 malam.
“Sebaik sahaja dimaklumkan kejadian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan, namun tiada sebarang penemuan sehingga operasi ditangguhkan pada pukul 12 tengah malam.
“Operasi SAR yang disambung semula pada pukul 7.30 pagi tadi memberi tumpuan di sekitar lokasi mangsa dipercayai lemas sehingga radius tujuh kilometer,” katanya.
Menurut beliau, usaha pencarian itu juga dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). – KOSMO! ONLINE