SEBERANG PERAI – Rundingan antara UMNO Pulau Pinang dan Pakatan Harapan (PH) berjalan lancar biarpun belum ada keputusan muktamad dicapai berhubung pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican walau bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat memperincikan isi perbincangan yang dilaksanakan secara tertutup itu.
“Ini juga antara persefahaman yang kita capai bersama pimpinan PH sebab dalam rundingan ini, banyak sudut pandang akan dipersembahkan dan kita kena perhalusi daripada semua sudut.
“Apa boleh saya katakan ia berjalan lancar, ‘it’s progressing well’ dan kita akan pastikan kerajaan yang akan dibina semula ini berteraskan formula atau gagasan perpaduan seperti yang berlaku di peringkat persekutuan.
“Walau bagaimanapun, adalah baiknya kita nantikan (keputusan) sehingga sampai ke tahap yang sudah dimuktamadkan kerana tidak wajar untuk saya bercerita sedangkan rundingan masih berlangsung dengan baik,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan rundingan yang berlangsung 2 Mei lalu.
Kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri rumah terbuka tersebut yang mana rata-ratanya merupakan penduduk sekitar Kepala Batas.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Zakiyuddin Abdul Rahman, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong dan Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir. – KOSMO! ONLINE