fbpx

Pengasas tahfiz dera seksual pelajar direman, tunjuk isyarat ‘okey’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang juga pengasas tahfiz (tiga, kanan) dan adiknya (dua dari kanan) diiringi anggota polis di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Pengasas dan warden sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak di sini direman empat hari bermula hari ini selepas disyaki terlibat dengan jenayah dera secara seksual serta fizikal terhadap enam pelajar.

Perintah reman sehingga 16 Mei itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Nurul Bahiyah Kamaluddin terhadap suspek yang berusia 40 dan 36 tahun itu.

Reman tersebut bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak polis mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pengasas tersebut bagaimanapun sempat menunjukkan isyarat ‘okey’ kepada pemberita ketika dia diiringi anggota polis ke Bilik Reman Mahkamah.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang juga merupakan adik-beradik warga Singapura tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada pukul 9.35 pagi dengan memakai pakaian lokap.

Semalam Kosmo! melaporkan polis menahan pengasas dan warden sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak dekat sini pada pukul 1 dan 1.30 petang selepas disyaki melakukan penderaan seksual dan fizikal terhadap enam pelajar mereka.

Kejadian itu terbongkar selepas kesemua mangsa yang berusia 13 sehingga 15 tahun tampil membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga pada pukul antara 6.29 petang sehingga 9.13 malam, kelmarin.

Difahamkan, pengasas terbabit sebelum ini pernah didakwa dan dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan atas kesalahan seks luar tabii pada 2019 bagaimanapun, adiknya tidak mempunyai rekod lampau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI