fbpx

Pemaju swasta boleh mohon laksana projek PPAM di hartanah mereka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKMAL (dua kiri) mendengar penerangan berhubung kediaman PPAM Pangsapuri Seri Permata di Johor Bahru ketika melawat projek tersebut, hari ini.

JOHOR BAHRU – Pemaju hartanah swasta boleh membuat permohonan untuk menjadikan sebahagian daripada kediaman jualan mereka sebagai projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM)

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, langkah sedemikian dapat membantu menyediakan perumahan lebih baik buat penjawat awam seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, permohonan dan pertanyaan berhubung perkara itu boleh dibawa ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyelia projek tersebut.

“Saya memuji inisiatif pemaju perumahan TH Tebrau Land yang menjadikan sebanyak 692 unit daripada keseluruhan 1,388 unit buat kakitangan kerajaan dan keluarga. Langkah ini juga boleh dilaksana pemaju-pemaju lain pada masa depan.

“Tindakan ini dapat mewujudkan satu komuniti masyarakat majmuk dimana ia terdiri daripada orang awam dan juga kakitangan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat PPAM Pangsapuri Seri Permata di pusat bandar raya ini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah TH Tebrau Land, Syamim Ibrahim memberitahu, unit kediaman PPAM di pangsapuri itu dijual bermula pada harga RM289,000 untuk satu lot letak kenderaan, manakala RM309,000 untuk dua lot letak kenderaan.

Katanya, projek berkenaan melibatkan tiga blok bangunan setinggi 49 tingkat dimana 50 peratus daripadanya adalah unit kediaman PPAM yang berukuran 975 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.

“Langkah ini dibuat sebagai menyahut seruan kerajaan supaya setiap rakyat termasuk kakitangan kerajaan memiliki rumah kediaman selari dengan konsep ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

“Tawaran unit kediaman PPAM ini adalah 35 peratus lebih rendah berbanding unit bukan PPAM bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah kediaman selesa di tengah bandar raya Johor Bahru,” jelasnya.

Tambah Syamim, unit kediaman bukan PPAM ditawarkan bermula pada harga RM380,000 hingga RM463,000. Manakala katanya, projek tersebut kini telah mencapai tahap 55 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama 2025.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI