KERJA rumah tambahan menanti pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk ‘berkenalan’ dengan Jordan yang bakal menanti Malaysia pada pusingan akhir Piala Asia, tahun depan.
Selepas kedudukan Malaysia dimuktamadkan untuk berada dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan, tempoh kira-kira tujuh bulan sebelum sepak mula, Januari depan memerlukan Pan-gon mengerah idea untuk menyiapkan pasukan lebih kukuh.
Jika Pan-gon sudah mendapat gambaran tentang kekuatan Bahrain yang turut menjadi lawan Harimau Malaya pada pusingan kelayakan sebelum ini, Jordan pula mungkin menjadi pasukan misteri.
Berdasarkan undian kelmarin, Jordan menjadi satu-satunya negara dari Kumpulan E yang belum pernah dihadapi Pan-gon sejak melatih Malaysia.
Mengulas tentang undian kali ini, Pan-gon akui tugas sukar menantinya untuk membina pasukan lebih baik bagi hadapi cabaran sengit pada penampilan kali ini.
“Kumpulan yang sukar apatah lagi Korea Selatan adalah salah satu pasukan yang terbaik. Tetapi, kami akan tetap berusaha untuk memberikan persembahan terbaik.
“Kami akan berikan saingan ketika lawan mereka untuk pastikan rakyat Malaysia berasa bangga,” katanya.
Malaysia akan membuka tirai saingan kali ini menentang Jordan di Stadium Al Janoub pada 16 Januari ini diikuti Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad (20 Januari) dan Korea Selatan di Stadium Abdullah Bin Khalifa (25 Januari).
Untuk rekod, sejak dilantik Pan-gon tidak menunggu lama untuk cipta sensasi dengan membawa Malaysia layak ke Piala Asia secara merit sekaligus menamatkan penantian 43 tahun.