BENTONG – Gara-gara gagal membuat bayaran ansuran bulanan dan motosikal mengalami kerosakan, seorang pengawal keselamatan bertindak nekad membuat laporan polis palsu kehilangan motosikalnya di Balai Polis Genting Highlands di sini.
Namun tindakan tidak bertanggungjawab itu berjaya dihidu pihak polis selepas mengesan penipuan dilakukan lelaki berusia 33 tahun yang mendakwa motosikal miliknya hilang.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, lelaki berkenaan yang datang membuat laporan polis bagi membuat tuntutan insurans pada 10 Mei lalu dirakam percakapan kelmarin untuk proses siasatan.
“Namun pihak polis mendapati terdapat keraguan terhadap keterangan yang diberikan oleh mangsa serta polis membuat siasatan televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan premis tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kejadian hilang motosikal tidak berlaku dan suspek mereka-reka cerita disebabkan motosikalnya telah rosak serta mempunyai tunggakan bayaran bulanan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Zaiham, laporan polis telah dibuat terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu. – KOSMO! ONLINE