fbpx

Bukan hina B40, Ryzal Ibrahim enggan mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMPENGARUH Ryzal Ibrahim enggan memohon maaf atas keterlanjuran perbuatan menyindir golongan B40.

PETALING JAYA – Dikecam hebat netizen kerana dikatakan menghina atau menyindir golongan B40, pempengaruh Ryzal Ibrahim bagaimanapun enggan melakukan permohonan maaf atas keterlanjurannya itu.

Yakin berada di pihak yang benar, Ryzal, 31, menganggap video yang dimuat naik tersebut sekadar gurauan yang berbentuk pengajaran.

Jelasnya, video terbabit sebenarnya untuk menggambarkan realiti kehidupan yang berlaku di zaman sekarang.

“Perkara ini memang berlaku dalam kehidupan kita, video saya itu bukanlah hinaan sebaliknya memberi kesedaran kepada mereka (golongan B40).

“Mungkin golongan ini sensitif dengan sindiran, bila kita memberi kesedaran, sepatutnya mereka berterima kasih. Mungkin lawak saya terlalu dalam sehingga mereka terlepas apa maksud sebenar yang ingin disampaikan.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim itu tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengambil peduli desakan khalayak melakukan permohonan maaf.

“Saya pernah tekankan sebelum ini bahawa saya tidak perlu minta maaf kerana saya tidak rasa saya bersalah. Ini adalah pengajaran untuk mereka,  bukanlah kesilapan,” jelas Ryzal.

Dalam pada itu, pemuda kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menyatakan apabila dia berkahwin dengan wanita mualaf, orang ramai menuntut dia untuk membuat untuk membuat kandungan berbentuk keagamaan dan islamik.

“Saya bawa Maryam (isteri) kenal Islam, kenal Allah, tetapi kehidupan saya, saya yang tentukan. Tidak semestinya perlu membuat kandungan ke arah islamik, ramai yang macam tu dalam media sosial sahaja, dekat luar munafik. Saya jadi diri sendiri sahaja,” ujarnya.

Ditanya takut atau tidak kehilangan pengikut susulan kes ini, bapa kepada seorang anak ini mengakui tidak risau bahkan percaya rezeki dan pengaruh terletak di tangan Allah.

“Memang sokongan dan semua ini kerana mereka (pengikut), tetapi yang menentukan semua ini bukan mereka, kita naik macam mana sekali pun, Allah yang tentukan.

“Saya juga pesan pada isteri, jatuh macam mana kita sekali pun, saya akan tetap cari rezeki untuk dia kerana itu adalah tangungjawab saya, hilang pengikut tidak akan memberi kesan kepada saya,” kata Ryzal ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, Ryzal mencetuskan kemarahan netizen apabila video yang dihasilkan olehnya seakan menyindir golongan B40 dan lagu dari kumpulan Ukays iaitu Di Luar Kemampuanku sebagai lagu latar belakang video tersebut dikatakan sengaja digunakan untuk menyindir.

Untuk rekod, Ryzal dan isteri iaitu Maryam mula mendapat perhatian pelayar media sosial Malaysia menerusi video-video mempelajari bahasa Melayu yang dimuat naik menerusi saluran Duriankimchi TV dalam YouTube. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI