LE MANS – Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia mengulangi pencapaian musim lalu apabila memastikan petak hadapan menjadi miliknya menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis di Litar Le Mans esok.
Pada sesi kelayakan yang berlangsung sebentar tadi, dia yang juga juara dunia melakukan catatan masa terpantas 1:30.705 saat (s), sekali gus menempah petak hadapan buat kali kedua dalam saingan musim ini.
Bagaimanapun, pelumba Itali itu terpaksa menunggu hingga ke penghujung sesi kelayakan bagi memadamkan catatan masa 1:30.763s yang dilakukan juara dunia lapan kali, Marc Marquez dari Repsol Honda.
“Kami bekerja sangat keras minggu ini kerana Ducati bergelut sejak semalam, pagi ini pun perkara sama turut berlaku. Bagaimanapun, semuanya sudah tunjukkan peningkatan dan kami gembira.
“Pada sesi latihan bebas ketiga, kelajuan jentera sudah semakin kompetitif, jadi sangat penting untuk kami dapatkan petak hadapan ini. Saya harap boleh teruskan aksi seperti ini pada perlumbaan sprint nanti,” kata Bagnaia sejurus tamat sesi kelayakan.
Mengiringi Bagnaia di barisan hadapan pada perlumbaan esok adalah Marquez di petak kedua dengan perbezaan 0.058s manakala pelumba Mooney VR46, Luca Marini di tempat ketiga menerusi catatan masa 1:30.842s.
Sebelum beraksi pada perlumbaan sebenar esok, semua pelumba terlebih dahulu akan menguji prestasi masing-masing pada perlumbaan sprint yang dijadualkan berlangsung malam ini. – KOSMO! ONLINE