fbpx

Bagai mati hidup semula, Mawi disihir, muntah darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS banyak mengalami kejadian buruk, Ekin pernah menghalang Mawi daripada terlibat dengan industri seni.

GOMBAK – Penyanyi Mawi mendedahkan pernah melalui pengalaman mistik yang membuatkan dirinya terpaksa berehat daripada industri seni sekitar 10 tahun lalu.

Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 42, berkata, dia menderita penyakit misteri yang mengakibatkan dirinya sering muntah darah sehingga kesihatan merosot.

“Perkara ini berlaku hampir sedekad lalu, kalau ingat saya berehat daripada dunia seni lebih kurang tiga tahun tidak buat apa-apa

“Ketika itu ramai tidak tahu keadaan kesihatan saya terjejas teruk, sakit misteri itu membuatkan saya sering muntah darah dan lemah.

“Sehingga ada satu ketika saya terlantar di hospital, saya rasa seperti di ambang sakaratul maut, macam roh nak keluar daripada badan selama 15 minit kemudian saya tersedar semula.

“Bila sedar semula, saya nampak isteri menangis-nangis sambil lap darah penuh satu badan. Semua sangka saya sudah ‘pergi’ selamanya,” ujarnya.

Mawi ditemui pada majlis kesyukuran Mawi World dan Wan Ajaib di Labaik Ruzz Cafe, di sini, semalam.

Penyanyi lagu Aduh Saleha ini berkata, pengalaman yang dilalui itu benar-benar membuatkan dia lebih berhati-hati dalam berkongsi perjalanan kerjaya dalam media sosial.

Dia juga menguatkan pendinding diri dengan amalan-amalan sunat, zikir dan membaca al-Quran.

“Saya tidak berani nak cakap ini permainan sihir atau ilmu hitam. Perkara ini pun sebenarnya tidak elok untuk dikongsi. Tapi saya cerita sebagai pengajaran sahaja.

“Kejadian itu benar-benar berlaku dan saya tidak dapat lupakan,” ujarnya.

Sementara itu, Mawi berkata, perkara itu juga membuatkan dia terpaksa berehat selama tiga tahun kerana takut kejadian berkenaan berulang kembali.

Menurut Mawi, isterinya, Nora’ Asyikin Rahmat atau Ekin juga enggan membenarkan dia terlibat lagi dengan industri seni selepas melalui banyak pengalaman buruk.

“Ekin minta saya berhenti menyanyi, keluar dari industri seni kerana tak mahu perkara begini jadi lagi.

“Tapi saya suka menyanyi, jadi saya tawakal dan percaya pada Tuhan.

“Tiga tahun saya diam, saya fikir mahu berhenti atau tidak. Selepas itu datang tawaran mengarah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan bidang pengarahan pula,” katanya.

Mawi berkahwin dengan Ekin pada 20 Disember 2008 dan mereka dikurniakan seorang anak bernama Cahaya Malaika, 13, tahun.

Sementara itu, berkongsi tentang filem terbitannya, Zim Zim Ala Kazim yang dibintangi penceramah terkenal, Datuk Kazim Elias, Mawi berkata, ia masih dalam proses penyuntingan terakhir.

Tambah Mawi, filem yang sepatutnya ditayang di platform TV berbayar itu akan diangkat ke layar perak selepas mengambil kira nasihat beberapa pihak.

“Ini memang cerita sebenar Ustaz Kazim. Dia sendiri berlakon hampir 90 peratus dalam filem ini. Kita memang respek usaha dan komitmennya dalam pembikinan filem ini. Tak mudah tetapi saya kagum dengan dia.

“Kita tak dapat elak jika ada yang kurang suka atau gemar dengan kisah yang bakal dipaparkan. Itu terpulang kepada citarasa dan minat masing-masing. Cuma saya lihat dari sudut positif.

“Banyak pengajaran yang boleh kita ambil. Sebab itu saya mahu mengangkat kisah penyakit misteri dan sihir yang pernah dilalui ustaz Kazim,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI