PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa terkejut, apabila terserempak seorang lelaki yang mirip seperti arwah suaminya.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan di TikTok milik Cik_csbk, lelaki tersebut sedang membelakangi wanita itu sambil melihat ke arah jalan raya.
“Dari belakang, Ya Allah, sumpah terkejut sangat. Sebab memang sebiji, sama. Al-Fatihah, bidadaraku sayang,” katanya.
Wanita itu juga turut berkongsi gambar dia bersama arwah suaminya yang menunjukkan gaya dan bentuk badan yang hampir serupa dengan lelaki yang ditemuinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai rasa terharu dan sedih dengan apa yang dilalui oleh wanita berkenaan.
“Tengah marah dengan suami, tengok video akak, terus cari suami. Terima kasih kak, sedarkan saya,” komen Noor Syafinaz.
“Saya pernah terjumpa kelibat macam arwah abang saya naik motor, saya tak jadi nak potong dan terus ikut perlahan-lahan dari belakang. Terubat rindu,” komen Qeen.
Ada juga yang memberi pendapat, meminta untuk wanita berkenaan menegur lelaki tersebut.
“Boleh jadi kalau saya tegur terus, takut terpeluk. Dulu saya sikit pun tak pernah terfikir akan terpisah sejauh berbeza alam macam ni,” luahnya.
Perkongsian itu menjadi tular di Tiktok dengan tontonan sebanyak 1.3 juta, 80,000 tanda suka dan 763 komen. – KOSMO! ONLINE