PETALING JAYA – Seorang guru sebak apabila menerima duit raya daripada anak muridnya baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di TikTok @ramoqena, guru berkenaan terkejut apabila mendapati terdapat sekeping sampul duit raya diletakkan di atas mejanya.
“Pagi ini aku terkejut apabila masuk bilik guru, ada sampul duit raya, siapa yang bagi?
“Aku tanya cikgu-cikgu lain, mereka maklumkan ada murid-murid pergi ke meja aku. Aku buka, memang betul ada duit dan nota. Budak-budak ini kan, pagi-pagi sudah buat aku tersentuh,” katanya.
Guru terbabit turut menunjukkan nota yang ditulis oleh muridnya yang diletakkan sekali di dalam sampul berkenaan.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Ikhlas daripada Amira, Robiana, Theodore, Yvonne and Olivia.
“Cikgu, kami minta maaf itu saja kami boleh bagi RM5 kepada cikgu,” tulis nota itu.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna tersentuh dengan tindakan murid-murid tersebut.
“Bagus anak muridnya, hargai cikgu. Pasti kesayangan ini,” kata Ieda.
“Murid beri duit ke, petai ke, pen ke, asalkan ada usaha mesti saya nak menangis,” kata Hajar.
“Bagi mereka sikit, tapi pada guru-guru mereka akhlak dan kesudian memberi itu lebih bermakna,” kata Naa.
Sehingga kini, video tersebut telah ditonton lebih 300,000 kali. – KOSMO! ONLINE
@ramoqenaBudak2 ni kan…. Pagi2 buta buat mata cikgu masuk habuk…🥹🥹🥹🥹