fbpx

UCL: Inter Milan selangkah lagi ke pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTER berjaya meraih kelebihan dua gol ke atas Milan menjelang aksi separuh akhir kedua bagi meraih slot ke pentas final Liga Juara-Juara. – AFP

MILAN – Inter Milan hanya selangkah lagi untuk menjamin tempat ke pentas final Liga Juara-Juara musim ini selepas menewaskan AC Milan 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di San Siro awal pagi semalam.

Kejayaan itu hadir menerusi dua gol pantas dalam tempoh tiga minit menerusi Edin Dzeko dan Henrikh Mkhitaryan bermula minit kesembilan serta 11.

Bagaimanapun, pengendali­nya, Simone Inzaghi, 47, enggan bergembira terlalu awal kerana menyifatkan masih banyak ‘kerja rumah’ perlu dilakukan dalam aksi timbal balik pada 17 Mei ini.

Menurutnya, mereka ber­syukur kerana Milan tidak sempat mendapatkan jaringan selepas bangkit menguasai babak kedua selain berjaya melakukan keseluruhan 13 percubaan sepanjang perlawanan itu.

“Kami sepatutnya boleh tamatkan perlawanan lebih awal berbanding dua gol ini, tetapi saya tetap gembira kerana aksi ini sengit dan menghiburkan.

“Sekarang masih ada satu perlawanan lagi dan kali ini kami kembali mendapat kelebihan dari segi penyokong kerana kami akan bermain sebagai tuan rumah.

“Kami tidak mahu mengecewakan impian mereka. Jadi, saya harap segala kesilapan hari ini terutama di separuh masa kedua dapat diperbaiki jika mahu ber­aksi di final bulan depan,” kata Inzaghi.

Dalam masa sama, Dzeko, 37, senada dengan pandangan jurulatihnya itu sambil mengingatkan rakan sepasukannya supaya lebih bersedia menanti asakan bertali arus daripada Milan selepas ini.

“Kadang-kadang saya tidak menjaringkan gol, tetapi saya menyumbang kepada perkara yang lain. Hari ini saya bekerja untuk pasukan dan itulah yang diperlukan dalam perlawanan besar seperti ini.

“Namun, kami perlu berhati-hati kerana Milan juga pasukan yang bagus. Jika kami dapat bermain seperti hari ini, peluang kami cerah ke final nanti,” jelas­nya.

Pemenang antara Inter dan Milan akan bertemu Manchester City atau Real Madrid yang seri 1-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir kelmarin.

Sebagai rekod, final Liga Juara-Juara musim ini akan diadakan di Ataturk Olympic Stadium di Istanbul, Turkiye pada 10 Jun depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI