SUNGAI PETANI – Seorang tukang kebun sekolah ditemui mati terbaring di atas kerusi bersebelahan sebatang pokok besar di hadapan sebuah restoran, di Jalan Gamelan, di sini malam tadi.
Ketika ditemui, mangsa, Shahabudin Marzuki, 57, yang beralamat di Taman Ria Jaya, dekat sini, lengkap berpakaian dan disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang membuat pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kaunter aduan Balai Polis Sungai Petani menerima panggilan telefon daripada orang awam pukul 11.20 malam tadi, memaklumkan seorang lelaki tempatan dilihat tidak bergerak ketika berbaring di atas kerusi itu dalam tempoh lama.
“Mangsa dikatakan baru selesai minum di sebuah kedai makan berdekatan sebelum menunggang motosikal miliknya untuk berehat di kawasan berkenaan.
“Bagaimana pun orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu hairan selepas melihat mangsa tidak bergerak dan dalam masa sama telefon bimbitnya asyik berdering sebelum bertindak menghubungi pihak kita kemudiannya,” katanya.
Menurut Zaidy, hasil temubual dengan anak lelakinya, mangsa sering keluar pada waktu petang sama ada untuk minum atau membeli barangan dapur dan pulang semula ke rumah sebelum pukul 10 malam setiap hari.
“Malam tadi anak mangsa dan ibunya risau apabila mangsa masih tidak pulang ke rumah seperti biasa dan menghubungi telefon bimbitnya namun tidak berjawab.
“Sekitar pukul 11 malam tadi, anak lelaki mangsa menghubungi lagi bapanya tetapi terkejut apabila dijawab oleh orang awam yang memaklumkan bapanya telah meninggal dunia sebelum bergegas ke lokasi untuk membuat pengecaman,” jelasnya.
Kata Zaidy, hasil pemeriksaan pihaknya di tempat kejadian tidak menemui sebarang kecederaan pada badan mangsa, manakala dokumen pengenalan diri masih berada bersamanya.
“Mayat mangsa dihantar untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini malam tadi.
“Semakan rekod perubatan juga mendapati mangsa sering mendapatkan rawatan penyakit darah tinggi, kencing manis dan stroke di HSAH sejak 2011 dan kes dikelasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE