GUA MUSANG – Kemarau dan taburan hujan rendah menyebabkan air Sungai Nenggiri di sini semakin surut sekali gus menjejaskan pendapatan pemandu bot dan nelayan di kawasan tersebut.
Keadaan cuaca panas ketika ini mengakibatkan beting pasir dan batu-batuan yang terdapat di dalam Sungai Nenggiri mulai timbul di kawasan permukaan.
Seorang pemandu bot, Shaari Mustapa, 55, berkata, ramai pemandu bot terpaksa berhenti sementara waktu daripada membawa bot kerana tidak mahu mengambil risiko ekoran air semakin surut.
Katanya, pemandu bot enjin galah dan enjin sangkut yang mahir sahaja akan meneruskan pekerjaan mengemudi bot bagi menghantar penumpang atau menangkap hasil ikan sungai.
“Saya berpengalaman membawa bot lebih 40 tahun dan sudah mengetahui selok belok arus Sungai Nenggiri.
“Kebanyakan orang baharu atau orang luar tidak berani membawa bot di sungai ini ketika air surut kerana berdepan pelbagai cabaran termasuk kawasan sungai dipenuhi beting pasir, tunggul kayu dan batu besar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Bertam Baru semalam.
Shaari memberitahu, selain melakukan pekerjaan nelayan sungai, dia juga menjana pendapatan membawa penumpang menaiki bot ke Kampung Lulut atau Kuala Sungai yang mengambil masa kira-kira 15 minit jika melalui jalan sungai dan dua jam sekiranya melalui laluan darat.
Katanya, harga tambang bot enjin sangkut yang dikenakan dianggarkan RM80 hingga RM150 untuk sehari.
Sementara itu, seorang lagi pemandu bot enjin galah, Muhamad Fakhry Sharif, 27, berkata, dia meneruskan pekerjaan sebagai nelayan sungai dan pemandu bot ketika cuaca panas demi kelangsungan hidup.
Katanya, meskipun menyedari risiko keselamatan ketika memandu bot ketika air surut, dia tetap berhati-hati kerana bot merupakan sumber mata pencariannya.
“Sungai Nenggiri dilihat surut lebih dua meter sejak awal minggu ini.
“Saya dan rakan-rakan lain berharap cuaca panas ini tidak berpanjangan dan kami dapat meneruskan aktiviti di kawasan Sungai Nenggiri seperti biasa. Selain menoreh getah dan berkebun, ramai penduduk menjadi nelayan sungai untuk menampung keperluan hidup,” katanya.